Pesta Ponggal : Jangan Kita Keliru

Tidak lama lagi kembali satu lagi perayaan yang dirayakan oleh masyarakat Hindu di Malaysia iaitu Pesta Ponggal. Perkataan 'ponggal' adalah bermaksud 'masa menuai' dan ia menandakan masa untuk mereka menuai hasil tanaman mereka di masa lalu. 

Di pagi hari pada pesta Ponggal biasanya kaum wanita akan mengemas rumah dan menghiasi rumah dengan 'kolams'. Kolams ialah hiasan lantai yang diperbuat dari beras yang diwarnakan. Biasanya kolams ini dibuat di depan pintu rumah, sebagai tanda selamat dan rahmat supaya isi rumah mendapat kesejahteraan. Kemahiran membuat kolams ini biasanya diwarisi turun temurun. Walaupun nampak susah, tetapi masyarakat Hindu boleh membuat kolams yang unik, cantik dan menarik. Kebanyakannya bermotifkan tumbuhan. Beras yang diguna membuat kolams ini juga boleh dimasak untuk dijadikan juadah kepada tetamu. Beras manis ini dimasak dengan kunyit dan halia dan dimakan dengan dhal dan susu. Tidak ketinggalan juga minyak sapi dan badam. Selain dari dijadikan hidangan tetamu, beras ini juga diletak di kuil untuk dipersembahkan kepada dewa. Oleh kerana beras ini manis, biasanya kolams yang dibuat akan habis dimakan oleh serangga. Bagi masyarakat Hindu, ini adalah kebajikan yang mereka buat untuk haiwan. Selain juadah yang disebutkan, terdapat juga makanan tradisi yang lain seperti 'vadaas' , 'payasam' dan keledek untuk dijamu semasa Ponggal.

Perayaan ini biasanya disambut selama empat hari.  

Pada hari pertama, ia dikenali sebagai hari 'Bhogi' iaitu hari untuk menyembah dewa hujan. Pada hari ini penganut Hindu akan mengamalkan mandi minyak bijan, sebagai permohonan untuk kehidupan baru yang lebih baik. Hari kedua semasa Ponggal ialah hari 'Surya'. Ia adalah khas untuk dewa matahari. upacara yang dilakukan pada hari ini ialah memasak beras bersama susu lembu, untuk dipersembahkan kepada dewa matahari. Pada hari ketiga adalah hari yang dikhaskan untuk haiwan lembu. Ia dipanggil hari 'Mattu'. Masyarakat Hindu percaya bahawa lembu ialah binatang suci yang banyak berjasa kepada manusia. Hari terakhir Ponggal pula adalah hari di mana kawan-kawan yang berjauhan datang untuk melawat. Ia membawa muhibbah dan persaudaraan kepada mereka yang lama terpisah. Perayaan Ponggal ini bolehlah dianggap hari masyarakat Hindu mengukuhkan ikatan sesama mereka. (sumber dipetik dari laman web kementerian penerangan Malaysia).

Beberapa tahun kebelakangan ini terdapat kecenderungan media massa dan gedung-gedung perniagaan mempromosikan konsep perkongsian perayaan apabila dua perayaan ini disambut pada tarikh yang hamper sama. Ekoran itu lahirlah istilah “Kongsi Raya” dan sebagainya kononnya menggambarkan keharmonian dan perpaduan masyrakat Malaysia. Situasi ini menimbulkan persoalan genting keharusan orang islam menyambut perayaan orang bukan Islam atau menggabungkan perayaan orang Islam dengan perayaan agama lain. 

Dalam hal ini, masyarakat Islam perlu sedar di mana keperluan dan kehendak kita yang sebenar dalam situasi masyarakat pelbagai kaum dan agama seperti di Malaysia pada hari ini.

Oleh itu eloklah kita merujuk beberapa dalil yang berkaitan:  

Firman Allah Taala yang bermaksud:

Dan mereka (yang diredhai Allah Taala itu ialah orang-orang) yang tidak memberikan persaksian palsu dan apabila mereka bertembung dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang sia-sia maka mereka melaluinya dengan cara menjaga kehormatan dirinya. 
                                                                                                                      (Surah al-Furqan: ayat 72).  

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: 

(Setelah Rasulullah S.A.W. melihat kaum Ansar menyambut dua hari perayaan yang mereka warisi dari zaman Jahiliyah). Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu Hari Raya Korban dan Hari Raya Fitrah. (Riwayat Abu Daud dan an-Nasai).

Sabda Rasulullah S.A.W. mafhumnya:

Barangsiapa di kalangan kaum muslimin yang menyerupai atau meniru perbuatan-perbuatan orang kafir maka dia adalah dikalangan mereka (orang-orang kafir). 
                                           (Riwayat Abu Daud, al-Baihaqi, Ibnu Majah, Ahmad dan ad-Daruquthni).  

Berkata Saidina Umar R.A. yang bermaksud:

Janganlah kamu mempelajari mentera-mentera orang asing dan janganlah kamu bersama-sama orang musyrikin dalam gereja-gereja/tempat-tempat ibadat mereka pada hari raya mereka kerana sesungguhnya kemurkaan (Allah Taala) akan turun menimpa ke atas mereka.                                    (Riwayat al-Baihaqi).

Dari dalil-dalil yang dibawakan di atas dapatlah disimpulkan di sini bahawa tidak harus bagi seseorang muslim menghadiri atau merayakan/menyambut perayaan kaum bukan Islam (seperti Pesta Ponggal dan lain-lain lagi). Dan inilah pendapat kebanyakkan ulama. Malah Syeikh Abu Hafs al-Musti (dari mazhab Hanafi) dalam kitab Subulus Salam amat keras dalam hal ini sehingga ia berkata: Sesiapa memberi hadiah kepada seorang kafir sekalipun dengan sebiji telur sebagai membesarkan hari mereka maka sesungguhnya ia kufur dengan Allah.

Saya melihat sambutan perayaan agama kaum bukan Islam seperti ini sedikit sebanyak boleh memesongkan akidah umat Islam yang meraikannya tanpa kita sedari. Kita semacam meredhai dan memberi izin terhadap perbuatan-perbuatan mereka yang menyalahi syariat Islam dengan kehadiran kita. Pun begitu Islam tidak melarang kaum-kaum bukan Islam merayakan hari keagamaan mereka sesama mereka. Namun, Islam tidak sesekali menganjurkan umatnya membenci penganut agama lain. Islam mahukan keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat serta dakwah berjalan dengan baik. 

Terdapat beberapa syarat bagi memenuhi perayaan bukan Islam : 

1) Lokasi di mana ia diadakan : jika jemputan tersebut di gereja atau kuil, jemputan ini tidak wajar diterima kerana ia satu simbolik kepada perayaan keagamaan dan seolah-olah orang Islam redha dengan agama tersebut. Walaubagaimanapun dari satu sudut yang lain di mana ia dibuat di rumah bukan Islam atau dewan, maka ia tidak lagi melambangkan perayaan agama semata-mata, tetapi telah bercampur dengan program sosial dan masyarakat. maka ketika ini tidak salah untuk Muslim menghadiri jemputan rumah terbuka sempena perayaan agama dengan niat menghubungkan tali persahabatan, kejiranan dan sebagainya.

2) Bukan bertujuan mengagungkan/ membesarkan agama lain : membesarkan agama lain merupakan satu kesalahan besar dalam Islam. Ulama mazhab Hanafi menyebutkan bahawa sesiapa yang menghadiahkan kepada bukan Islam pada hari perayaan mereka sebiji buah tembikai dengan tujuan untuk membesarkan perayaan tersebut, maka ia telah kufur. (Al-Ahkam ahli zimmah, juzuk 2, hal. 158).

Justeru itu dapatlah disimpulkan di sini bahawa Islam tidak pernah menghalang umatnya menjalinkan hubungan baik dengan penganut agama lain tetapi hendaklah berlandaskan hukum yang telah ditetapkan syariat Islam. Jangan kita membatasi hukum Islam semata-mata mahu berdakwah dengan golongan bukan Islam. Dakwah itu banyak caranya. Rasullulah s.a.w. telah menunjukkan contoh yang terbaik kepada kita bagaimana baginda mampu menyatukan semua bangsa di bawah satu tampuk kepimpinan Islam. ISLAM ITU INDAH. (^_^) Wallahua’alam