Bangun Qiamullail atau Hadapi Kubur Yang Gelap Gelita...


 
Pesanan Rasulullah s.a.w. yang kedua menggalakkan kita agar solat malam untuk menghadapi kesunyian kubur kelak. Umum mengetahui solat adalah penggerak utama pembangunan jiwa dan rohani. Solat malam tidak dapat ditandingi oleh sebarang ibadah kerana ia membekalkan kepada golongan yang beriman dengan potensi dan daya juang yang tinggi. Kenyataan ini diperkuatkan lagi dengan firman ALLAH s.w.t :

Sesungguhnya jiwa yang terbentuk pada waktu malam itu lebih mantap (keperibadiannya) dan lebih jitu kata-katanya.                                                                                 (Surah Al-Muzzammil : 6)

Rasulullah s.a.w. juga pernah menjelaskan keutamaan dan kelebihan solat malam. Sabda baginda s.a.w. :

“Hendaklah kalian mengerjakan solat pada waktu malam, kerana itu adalah amalan orang-orang soleh sebelum kamu dan yang mendekatkan kamu kepada Tuhanmu. Penebus segala dosa, pencegah dari segala keburukan dan dapat menghapuskan penyakit yang terdapat dalam tubuh seseorang.”                                                                                                        (Riwayat Al-Tabrani dan Al-Tirmizi)

Diriwayatkan bahawa Jibril a.s dating menemui Nabi s.a.w dan berkata:

“Hai Muhammad, hiduplah sepertimana yang engkau mahu, namun engkau pasti mati. Berbuatlah apa yang engkau mahu, namun engkau pasti berpisah dengannya. Ketahuilah bahawa keutamaan seseorang mukmin itu ialah dengan qiamullail (solat malam), manakala kemuliaannya ialah dengan sikap berdikari (tidak bergantung kepada orang lain).                    (Riwayat Al-Tabrani)

Justeru itu, jelas sekali bahawa solat malam dapat membentuk para da’i menjadi hamba ALLAH yang ‘Rabbani’, kerap berhubung dengan ALLAH, berjiwa cerah, mempunyai hati yang peka, kewaspadaan yang tinggi dan daya fikir yang kritis.

Jika seseorang itu tidak bersifat dengan sifat-sifat di atas, maka ia bukanlah da’i yang sebenar. Bencana yangt menimpa Islam pada masa kini ialah terdapat golongan-golongan pendakwah yang tidak mempunyai ciri-ciri, sifat-sifat dan akhlak seorang pendakwah yang sebenar. Bahkan lebih teruk lagi ada dalam kalangan pendakwah Islam yang melakukan dosa-dosa besar! Na’uzubillah

 Solat malam tidak akan dapat dijadikan amalan kebiasaan kecuali dengan menggagahkan diri, melawan syaitan dan nafsu terutamanya pada peringkat awal. Rasulullah s.a.w teah menjelaskan perkara ini dengan sabdanya:

“Apabila seseorang hendak menunaikan solat malam, datanglah malaikat seraya berkata kepadanya: “Bangunlah, hari telah pagi, sembahyang dan ingatlah Tuhanmu. Kemudian syaitan pun datang dan memujuknya: “Malam masih panjang, engkau boleh tidur lagi, nanti engkau boleh bangun. “ kalau dia bingkas bangun dari tempat tidurnya menunaikan solat, maka badannya akan menjadi ringan (cergas) dan sihat. Kalau dia patuh kepada syaitan. Tidur hingga ke siang, syaitan akan kencing di dalam telinganya.”                                        ( Riwayat Al-Tabrani)

Rasulullah s.a.w. juga mengaitkan antara solat malam dengan mendapat ketenangan dan kedamaian di dalam kubur: Sabda baginda s.a.w :

“Orang yang mencerahkan malamnya dengan ibadah dan patuh kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan menerangkan kuburnya dengan rahmat dan kurniaan-Nya.”

Alangkah besarnya kurniaan ALLAH terhadap hamba-Nya, dengan beberapa rakaat yang dikerjakan pada waktu malam, dapat menyelamatkannya daripada seksaan dan kesunyian kubur. Selamatlah orang-orang yang tidak nyenyak tidurnya kerana ibadah. Selamatlah mereka dari kesengsaraan di dalam kubur.
Rasululah s.a.w pernah membayangkan tentang kubur dan seksaannya dengan bersabda:

“Kubur adalah anak tangga pertama ke akhirat. Jika seseorang itu selamat (dari seksaannya), maka peringkat selepas itu akan lebih mudah. Tetapi jika dia tidak selamat, maka apa yang akan dihadapnya selepas itu lbih sukar.”

Seorang mujahid berkata:

“Yang pertama menyapa si mati adalah lubang kuburnya, maka berkata kubur itu: “Akulah rumah ulat dan cacing, rumah sepi, gelap dan keseorangan. Inilah persiapanku untukmu, maka apa pula persiapanmu untukku?”

Rasulullah s.a.w. menerangkan:

“Apabila seseorang manusia meninggal dunia (setelah dikebumikan), maka datanglah dua malaikat yang kehitaman dan kebiruan warna mereka. Mereka dikenali sebagai Munkar dan nakir. Kedua-duanya bertanya kepada si mati: “Apa katamu (pandanganmu) terhadap nabi?” Sekiranya dia beriman, dia menjawab: “Nabi ialah hamba ALLAH dan Rasul-Nya, aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH dan Muhammad pesuruh ALLAH.” Kedua-dua malaikat itu lantas berkata: “Kami memang tahu, dahulu pun engkau mengucapkan syhadah itu.” Kemudian kuburnya dilapanglan seluas tujuh puluh hasta kali tujuh puluh hasta serta diterangkan kuburnya. Sekiranya dia seorang munafik, dia menjawab: “Aku tidak tahu, aku pernah mendengar orang mengatakannya dan aku pun mengatakannya.” Kedua-dua malaikat itu pun berkata: “Kami memang tahu engkau pernah mengatakan yang demikian itu.” Kemudian diperintahkan kepada bumi supaya menghimpitnya sehingga berselang-seli tulang-belulangnya.
 
Rasulullah s.a.w. juga bersabda:

“Apabila seseorang itu hendak dihimpit di dalam kuburnya dari sebelah kepadanya, maka datanglah ibadah tilawatul Quran (yang telah dilakukannya semasa di dunia) menghalangnya. Apabila himpitan itu datang dari hadapannya, ia dihalang oleh ibadah sedekahnya, dan apabila himpitan itu datang dari arah kakinya, ia dihalang oleh ibadah pemergiannya ke masjid-masjid.”



Begitulah beberapa gambaran kesengsaraan dan penderitaan di dalam kubur yang akan dihadapi oleh mereka yang sentiasa lalai daripada mengerjakan amal ibadah ketika hidup di dunia. Hanya dengan solat malam yang mampu menyelamatkan kita daripada seksaan kubur tersebut. Ayuh berdoalah kepada ALLAH S.W.T agar diberi kekuatan kepada kita untuk melawan godaan syaitan dan nafsu agar dapat menggagahkan diri dan jiwa kita untuk menunaikan solat malam. Moga-moga kita tergolong dalam kalangan da’i yang mempunyai ciri-ciri da’i yang sebenar dan dijauhkan dari segala bentuk maksiat dan dosa-dosa besar. 

~ SEMOGA KITA SEMUA ISTIQAMAH DENGAN IBADAH QIAMULLAIL SEPANJANG
RAMADHAN AL-MUBARAK INI~

PUASA : TARBIYYAH BUAT PARA DA'I


Bismillah walhamdulillah,

Masih diberi taufik dan inayah dari ALLAH s.w.t  untuk aku menulis lagi. Menjelang Ramadhan Al-Mubarak tidak lama lagi, aku ingin mengambil kesempatan dan peluang untuk berkongsi serba sedikit  tentang salah satu anjuran Rasulullah buat bekalan para da’i bagi menghadapi cabaran dan ranjau yang penuh berduri dalam kehidupan ini.

Sabda baginda kepada Abi Zar Radiyallahu ‘anhu:

“Sekiranya engkau akan mengembara, adakah engkau akan membuat persiapan?” jawab Abu Zar: “Ya!” Sabda baginda: “Bagaimana pula dengan pengembaraan menuju hari kiamat? Mahukah engkau mendengar sekiranya aku memberitahu mu tentang bekalan yang berguna untuk menghadapi hari tersebut?” Jawab Abu Zar: “Bahkan aku mahu wahai Rasulullah, demi ayah dan ibuku.” Mendengar jawapan Abu Zar itu, baginda pun bersabda:

# Berpuasalah di hari yang panas terik demi menghadapi hari kebangkitan

# Sembahyanglah dua rakaat di malam gelap gelita demi menghadapi kesunyian dan kegelapan kubur

# Tunaikan haji demi menghadapi cabaran-cabaran besar yang mendatang

#  Hulurkan sedekah untuk orang miskin

# Sentiasa ungkapkan kalimah yang benar

# Diam dan hindarkan diri dari bertutur kata-kata yang tercela dan buruk.

Inilah beberapa saranan dari Rasulullah s.a.w bagi mereka yang merentasi perjalanan mencari keredhaan ALLAH dalam kalangan orang yang beriman dan para da’i. Anjuran ini menggesa kita supaya melatih dan membiasakan diri dengan kehidupan yang sulit dan payah. Mengasuh diri dengan menahan nafsu daripada sentiasa menikmati apa yang diingini dan disukai.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Biasakan diri dengan kesusahan kerana nikmat kesenangan hidup tidak kekal selama-lamanya.
Saranan Rasulullah s.a.w. ini adalah salah satu cara yang praktikal dalam tarbiyyah. Cara tersebut merupakan suatu pendekatan yang mempunyai kesan yang mendalam dalam pembentukan dan pemurnian diri manusia. Latihan seperti ini mampu menjadikan da’i seorang hamba ALLAH yang benar-benar patuh dan tunduk kepada Rabbul ‘Alamin

Sebagai contoh ialah ibadah puasa. Puasa adalah salah satu latihan kerohanian yang amat berkesan. Puasa dapat menghaluskan perasaan, membersihkan fikiran, memurnikan hati dan menjernihkan jiwa.

Oleh kerana itu, orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan penyerahan diri kepada ALLAH pada hari dan saat yang panas terik akan mendapat ganjaran iaitu dibebaskan daripada kepanasan hari kiamat yang tiada tolak bandingnya.

Rasulullah s.a.w. pernah berpesan kepada Sayyidatina Aisyah r.a dengan sabdanya:

“Wahai Aisyah, hendaklah engkau sentiasa mengetuk pintu syurga dengan lapar.”

Tersebut di dalam hadith Qudsi:

“Setiap amalan anak Adam diberikan ganjaran sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda kecuali puasa. Sesungguhnya ia (puasa) adalah untuk-Ku, Akulah yang akan memberikan ganjaran. Dia meninggalkan syahwat dan makan semata-mata kerana-Ku.

Rasulullah s.a.w juga telah mengisyaratkan darjat untuk mereka yang berpuasa dan berjaya mengawal hawa nafsu mereka. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah pintu bernama Al-Rayyan, di mana orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu pada hari kiamat. Tiada seorang pun yang dapat melalui pintu itu. Apabila mereka semua masuk, pintu itu akan ditutup kembali dan tidak aka nada lagi orang yang akan masuk melaluinya.”

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:

“Tiada seorang pun hamba yang berpuasa satu hari pada jalan ALLAH kecuali ALLAH akan menjauhkan wajahnya daripada api neraka selama tujuh puluh musim.”

Rasulullah juga menjelaskan bahawa puasa dapat memberi syafa’at kepada tuannya pada hari akhirat kelak. 

Sabda baginda s.a.w. :

“Puasa dan Al-Quran memberi syafa’at kepada seseorang hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: “Wahai Tuhan, aku telah menghalangnya daripada makan dan nafsu syhawat, maka berikan syafa’at kepadanya disebabkan oleh aku.” Dan berkata pula Al-Quran: “Aku telah menghalangnya daripada tidur pada waktu malam, maka berilah syafa’at kepadanya disebabkan oleh aku.” 

Begitulah beberapa gambaran tentang hikmah dan kelebihan bagi seseorang yang benar-benar ikhlas mengerjakan ibadah puasa. Maka setiap da’i hendaklah bermujahadah terhadap dirinya dan melatih jasad dan nafsunya dengan berpuasa. Sesungguhnya ia merupakan satu amalan yang kuat dan penting untuk pembersihan jiwa (tazkiyatun nafs) agar dia mampu untuk merentasi hari kiamat dengan penuh aman kelak seperti mendapat pemeliharaan ALLAH yang berterusan. Wallahua’lam.

Moga ibadah puasa kalian diterima ALLAH s.w.t sebagai amal ibadah yang mampu menjadi benteng dan menghindarkan diri kalian daripada bahang kepanasan api neraka kelak. 


~SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK~


MUSUHMU YANG SEBENAR ADALAH NAFSUMU SENDIRI



Bismillahirahmanirrahim..

Alhamdulillah kali ini aku akan berkongsi serba sedikit tentang dugan dan cubaan yang sering dihadapi oleh para da’I seperti kita dalam mengharungi kehidupan yang penuh mehnah dan tribuasi ini.
Antara dugaan dan ujian yang sering kali melanda para da’i adalah nafsunya sendiri yang sentiasa cuba untuk menguasainya. Nafsu dengan segala karenah bukan mudah untuk diatasi oleh seorang da’i.  Seperti kata-kata Nabi Yusuf ‘Alaihissalam di dalam al-Quran :

“Aku tidak dapat membebaskan diriku kerana nafsu yang sering menyuruh kepada keburukan, kecuali orang yang dirahmati oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”                                                                                                                   (Surah Yusuf : 53)

Dalam kesibukan dan hingar bingar kehidupan sama ada dalam bidang sosial, ekonomi, politik, kekeluargaan, gerakan dan keasyikan mencari keperluan hidup, seorang da’i mungkin terlupa akan dirinya sendiri. Dia selalu memberi perhatian dan bimbingan kepada orang disekelilingnya, namun dia lupa tanggungjawab terhadap dirinya sendiri yang perlu ditingkatkan dari segenap segi. Di sini akan berlau sesuatu yang amat merugikannya. Jiwanya akan menjadi keras, lembap dan akhirnya akan menyeleweng sedikit demi sedikit.
Nafsu memang sentiasa mengarahkan diri kepada keburukan. Jika tidak dikekang dengan lingkaran takwa dan agama nescaya diri akan tertewas dengannya.

Firman Allah s.w.t. :

“Adapun yang takut makam Tuhannya, mencegah diri dari menurut hawa nafsu. Maka syurgalah tempatnya kembali.”                                                                                 (Surah Al-Nazi’at : ayat 40-41)

Sabda Rasulullah s.a.w. :

“Musuh dirimu yang paling besar ialah nafsumu sendiri yang berada dicelah lambungmu.”                                                                                                                                                                                (Al-hadith)

                Satu perkara yang perlu diingat oleh para da’i, bahawa sebagai seorang da’i tugas asasinya ialah memastikan dirinya menang dalam pertarungan ini (melawan nafsu). Dia harus berbuat baik terhadap dirinya sendiri. Jika tidak apalah ertinya orang lain menang tetapi dia sendiri kalah melutut di hadapan nafsunya.

                Orang yang untung di hri kiamat kelak adalah orang yang memenangkan dirinya (melawan nafsu), walaupun dia kehilangan dunia dan sanjungan oang ramai. Manakala orang yang benar-benar rugi adalah orang yang mensia-siakan dirinya dan dikalahkan oleh nafsunya walaupun dia memperolehi dunia dan sanjungan orang ramai.

Allah s.w.t berfirman :

“Adakah kamu menyuruh orang lain melakukan kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri. Padahal kamu membaca Al-Kitab. Apakah kamu tidak berakal?”                                              (Al-Baqarah : 44)

Firman-NYA lagi :

“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu katakan apa yang kamu tidak lakukan? Amat besar kemurkaan Allah, kamu katakan apa yang tidak kamu lakukan.”                     (As-Saff : 2-3)

                Da’i dituntut supaya memperhitung kesalahan dirinya terlebih dahulu sebelum memperhitungkan kesalahan orang lain. Didik diri sendiri terlebih dahulu sebelum mendidik orang lain. Berbuat ihsan terhadap diri sendiri dahulu sebelum berbuat ihsan kepada orang lain.

Pesan Saidina Ali Bin Abi Talib Karramallhuwajhah :

“Sesiapa yang menjadi pemimpin kepada orang lain, maka hendaklah dia mulakan dengan mengajar dirinya sendiri sebelum mengajar orang lain. Didikannya terhadap orang lain biarlah dengan tingkah lakunya sebelum dengan tutur kata. Orang yang mengajar dan mendidik diri sendiri lebih berhak dimuliakan daripada orang yang mengajar dan mengasuh orang lain.”

Rasulullah s.a.w. pernah menceritakan nasib orang yang mengatakan apa yang tidak mereka kotakan, yang menyuruh orang lain berbuat baik tetapi melupakan diri sendiri, yang menjadikan diri sendiri pembimbing sedangkan diri sendiri tidak terbimbing dan yang menyuruh orang lain beristiqamah sedangkan dirinya sendiri menyeleweng. Sabda Rasulullah s.a.w. :

Pada hari kiamat kelak dicampakkan orang berkenaan ke dalam api neraka lalu terburai perutnya. Dia berputar-putar di dalamnya seperti keldai mengelilingi kincir pengisar gandum. Penduduk neraka berkerumun melihatnya. Mereka berkata: “Si fulan rupanya. Bukankah engkau dahulu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar?” “Benar,” jawabnya. “Tetapi aku menyuruh kepada kebaikan sedangkan aku sendiri tidak melakukannya, aku melarang yang mungkar tetapi aku sendiri melakukannya.”

                Justeru itu, sedarlah wahai sahabat sekalian, tanggungjawab sebagai seorang da’i bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh dibanggakan. Begitu banyak sekali dugaan dan ujian yang harus kita hadapi. Perlu diingat, musuh yang paling utama adalah nafsu kita sendiri. Bagaimana mungkin kita mampu mengalahkan musuh-musuh Islam seandainya diri kita sendiri kalah melutut di hadapan nafsu. Bagaimana ALLAH ingin memberi kita kemenangan sekiranya kita sendiri melakukan perkara yang dilarang-Nya.. Usah hairan dan pelik mengapa hingga kini Islam masih belum mencapai kemenangan sekiranya ramai dalam kalangan penggerak Islam sendiri yamg melakukan dosa-dosa besar. Na’uzubillahi minzaalik.


Sama-sama kita renungkan dan muhasabah diri. Peringatan juga buat diri aku sendiri.