Pendakwah bukan penghukum..



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Sememangnya antara perkara yang paling payah dan susah bagi seorang pendakwah ialah mendahulukan bersangka baik. Sebelum kita mengajak orang lain bersangka baik, perlu bermula dengan diri sendiri sebagai qudwah. untuk menajak seseorang mengasihi Allah s.w.t dan mencintai Islam, pendakwah terlebih dahulu perlu mengasihi Allah dan Islam. Sebelum kita mengajak orang lain untuk menerima Islam sepenuhnya, pendakwah sendiri perlu memujuk diri dan menerima Islam sepenuhnya.

Sebagai orang yang membawa Islam, kita perlulah memastikan orang di sekeliling kita merasa selelsa dengan Islam yang dibawa. Suasana yang mesra dan mudah wajib diwujudkan. Bukan kita menyusah dan memnyukarkan proses komunikasi dengan membawa sentimen, prejudis dan sebagainya. Sebagai pendakwah, kita perlu berfikiran terbuka, positif dan santai, insyaAllah ia akan menghantar satu imej di minda masyarakat bahawa akhlak Muslim itu cantik dan mesra.

Apabila kita ingin mendekati seseorang (mad'u), kita akan ada first impression semasa melihat perwatakannya. Nampak free hair, kita terus labelkan mereka 'teruk' atau 'jahil'. Nampak sahaja pasangan berkepit lelaki perempuan, kita terus labelkan 'tidak senonoh, buat malu kaum jer'. Apabila nampak saja situasi sebegitu, pelbagai pemikiran negatif terlintas di fikiran kita.


Sebagai pendakwah, sepatutnya yang menerpa fikiran tatkala melihat mad'u kita atau berhadapan dengan situasi seperti di atas bukanlah sesuatu yang negatif. Tetapi seharusnya timbul perasaan simpati dan belas kasihan kepada mereka. Simpati kerana mereka belum menerima hidayah Allah s.w.t. lalu terus mendoakan mereka. Simpati kerana kefahaman belum dimiliki mereka sehingga mendorong mereka melakukan sesuatu yang tidak seiring dengan kehendak Islam.

Pendakwah tugasnya bukan menghukum itu dan ini, bukan melatah dan mencaci orang dengan kata-kata, tetapi tugas sebenar kita adalah emeberi kefahaman tantang perihal Islam yang sebenar kepada mad'u. Pendakwah perlu beruasaha mendekati mad'u dan menegurnya dengan cara yang baik. Namun hakikatnya hukuman itulah yang selalu dijaja sana sini.



Pernahkah kita terfikir apakah bezanya kita dengan mereka yang kurang kefahaman ini? Kita mungkin terpilih untuk menerima hidayahNya terlebih awal dari mereka, tetapi janganlah pula kita mudah mencaci dan menghina. Hidayah Allah itu milik semua dan hanya kuasaNyalah yang menentukan bila dan selama mana ia akan berada dalam diri seseorang.Mungkin hari ini kita boleh berbangga mendabik dada dengan pelabagai 'fatwa' pelbagai gaya, tetapi esok lusa kita belum tahu siapa kita di sisi Allah s.w.t. Na'uzubillah jika hidayahNya ditarik balik dari jiwa kita.

Berikut adalah tips yang disarankan oleh Syeikh Abdul Kadir Al-Jailani untuk sentiasa bersangka baik sesama makhluk:

1) Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu: "Mungkin kedudukannya di sisi Allah s.w.t. jauh lebih baik dan lebih mulia".

2)Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah: "Anak ini belum bermaksiat kepada Allah s.w.t. sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tantu anak ini jauh lebih baik daripadaku".

3)Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah: "Dia telah beribadah kepada Allah s.w.t. jauh lebih lama daripadaku, tentu dia lebih baik daripadaku".

4) Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah: "Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan ku peroleh, mencapai kedudukan yang tidak akan ku capai, mengetahui apa yang tidak ku ketahui dan dia mengamalakan ilmunya. Tentu dia lebih baik daripadaku".

5) Jika bertemu dengan seorang yang jahil, maka katakanlah: "orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia jahil (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik daripadaku".

6) Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah: "Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin pada akhir usia dia memeluk Islam dan beramal soleh, dan mungkin boleh jadi pada akhir usiaku kufur dan berbuat kejahatan. Na'uzubillah. Tentu dia lebih baik daripadaku"

Demikian anatar ajaran-ajaran yang dititipkan oleh seorang ulama yang masyhur. Beliau mengajar diri kita agar cuba memujuk diri sendiri dengn sangkaan yang baik.
Golongan yang kurang faham ini (mad'u) perlu didekati untuk difahami. Mereka dambakan sinar hidayah. Walaubagaimanapun mereka, fitrah insani tetap mahukan diri melakukan kebaikan, pasti ada walau sekecil zarah, keinginan untuk berbakti. Oleh yang demikian, janganlah disebabkan kita menjadi punca terhentinya keinginan mereka ini. Potensi yang ada dalam diri setiap mad'u mungkin menjadikan mereka jauh lebih baik dari kita suatu hari nanti.

Oleh yang demikian, seorang pendakwah wajib memiliki sikap bersangka baik, yang juga termasuk antara akhlak Rasulullah s.a.w. yang utama. ia perlu disemai, dilatih dan dibudayakan semaksima mungkin bagi memberi kesan yang besar dalam penyebaran agama Islam. Sama-sama kita bangkit dalam menegakkan syiar Islam di muka bumi Allah ini insyaAllah..

Segala apa yang baik itu datang daripada Allah Yang Maha Bijaksana dan yang kurang itu daripada kelemahana diri kita sendiri. Wallahua'lam.

Nikmat Sihat...

Alhamdulillah, masih dikurniakan nikmat sihat dan nikmat hidup oleh Allah untuk aku menghabiskan sisa2 hidup di bumi yang hanya sementara ini. Kali ini aku nak berkongsi sedikit pengajaran yang aku peroleh daripada peristiwa yang banyak mengajar aku erti menjadi seorang hamba yang bersyukur. Kali ini aku nak berkongsi tentang nikmat sihat.

Apabila Allah ingin menarik sesuatu nikmat daripada kita, sekejap sahaja nikmat itu akan ditarik daripada kita, dan kita tidak lagi dapat merasai dan menikmati apa yang telah Allah kurniakan sebagaimana sebelumnya. Dan di saat nikmat itu telah hilang, barulah kita mengakui betapa besarnya nikmat tersebut, yang mungkin selama ini tidak pernah kita sedari dan syukuri.

Tak perlu pergi jauh-jauh, lihat dan renung sahaja nikmat kesihatan yang Allah berikan pada kita saat ini. Dengan adanya nikmat tersebut, kita boleh beribadah, belajar, bekerja, makan, bersukan, dan melakukan semua perkara yang diingini. Kita mampu bergerak cergas ke mana sahaja tanpa halangan kesihatan.

Tetapi andai nikmat kesihatan ditarik, semua aktiviti lain akan turut terganggu. Kita hilang fokus pada pelajaran dan kerja, hilang selera makan, tidak boleh beribadah dengan sempurna, tidur tidak lena, lesu, pergerakan yang terbatas dan kita mungkin hanya mampu terlantar di atas katil. Malah, kita mungkin tidak mampu menguruskan diri sendiri dan perlu kepada bantuan orang lain.

Di saat ini, barulah disedari betapa bernilainya nikmat kesihatan yang telah Allah berikan kepada kita yang hanya dipandang remeh selama ini. Kita hanya mensyukuri nikmat yang terzahir di mata: wang, rumah, kereta, keluarga, syarikat, tanah, kebun, dan sebagainya tetapi melupakan nikmat yang satu ini; yang jika ditarik Allah, nikmat-nikmat lain tidak lagi akan memberi apa-apa erti buat diri kita.


Di saat ini, barulah disedari betapa lemahnya kita, seorang manusia. Walau siapa pun kita, sekuat dan sepandai mana pun kita, kita boleh ‘dilumpuhkan’ oleh makhluk-makhluk seni dan ‘senjata’ ciptaan Allah. Dengan segala vaksin, supplement dan ubat-ubatan yang ada sekarang, kita yakin tubuh badan kita mampu menangkis segala bentuk serangan penyakit. Tetapi kadang-kadang kita lupa siapa yang berkuasa di sebalik semua ini. Allah sahaja yang Maha Berkuasa mendatangkan penyakit, dan Dia juga yang Maha Berkuasa menyembuhkannya.


Di saat ini, barulah jiwa seorang hamba terasa ingin kembali kepada Penciptanya yang selama ini dilupakan dan diingkari. Barulah terbayang segala dosa yang telah dilakukan. Barulah perasan sedikitnya amalan soleh yang dibuat. Barulah terasa ingin beribadah dan memanjatkan doa sebanyak-banyaknya kepada Allah. Tetapi apakan daya, di saat jiwa ingin kembali kepadaNya, halangan kesihatan membantutkan hajat kita. Lalu terbit sesalan di hati,

“Kenapalah aku tak buat semua ni mase tengah sihat dulu..”
Sesungguhnya, pada setiap penyakit yang Allah datangkan kepada kita, ada peringatan yang Allah ingin sampaikan, ada hikmah yang Allah ingin kita ambil pengajaran, dan ada kebaikan dan pahala yang Allah ingin berikan kepada kita.

Dan selalulah memperingatkan diri bahawa sekelip mata sahaja nikmat sihat boleh ditarik daripada diri kita. Syukuri nikmat tersebut dengan menggunakannya pada jalan ibadah dan menghambakan diri kepadaNya. Nabi S.A.W sendiri telah memperingatkan kita dalam sabda baginda S.A.W,



Aku sendiri baru je lepas demam 5 hari berturut2...waktu tu hanya Allah saje yang tahu betapa lemahnya diri ini...moga2 menjadi pengajaran kepada diri agar lebih mensyukuri segala nikmat2 kurniaanNya (kifarah dosa) insyaAllah..

Ikhtilat...ikhwah...akhawat........

Ikhtilat merupakan suatu bentuk pergaulan secara bebas yang melibatkan lelaki dan perempuan yang ajnabi. Ia merupakan suatu bentuk pergaulan yang ditegah oleh Islam. Sesungguhnya mengambil mudah persoalan ikhtilat boleh membuka ruang maksiat yang berleluasa dalam masyarakat tanpa kita sedari.

Tambahan kemajuan era teknologi sekarang, ikhtilat bukan sahaja melibatkan perjumpaan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi malah dengan kemudahan yang ada seperti Yahoo Messenger, SMS, e-mail,Facebook dan Friendster. Jarak yang jauh didekatkan, masa yang berbeza tidak menjadi masalah begitu juga dengan kos perhubungan. Budaya ini terus menjadi darah daging masyarakat kita terutama remaja-remaja.


Kadang kala perhubungan dimulakan atas dasar kerja tetapi akhirnya melarat kepada perkongsian peribadi bukan perkongsian kepakaran. Maka tenggelamlah konsep 'kerja adalah kerja, peribadi adalah peribadi'. Kononnya hendak memahami dan mewujudkan keserasian dalam bekerja. Seolah-olah kita mencari keredhaan manusia dalam kemurkaan Allah.

Apabila wujud golongan yang menegah dan menunjukkan kaedah muamalat yang selari dengan syariat Islam maka timbullah konsep SYADID. Sememangnya Islam itu mudah dan tidak membebankan tapi tidak bermakna kita layak untuk mempermudah-mudahkan syariat Islam.

Adakah salah seorang nisa' dan rijal menjaga maruah dan pergaulannya. Bercakap, berurusan, berjumpa dan berbincang atas keperluan? Adakah salah bagi seorang nisa' terutamanya menegaskan suaranya dan menjaga pandangan demi menjaga maruah dirinya.

Dalam Al-Quran ada menyebut: "Katakanlah kepada lelaki-lelaki dari orang-orang beriman supaya menahan pandangan mereka serta menjaga kehormatan mereka dan katakanlah kepada perempuan-perempuan dari orang-orang yang beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka." (An-Nur:31)

Apabila rijal dan nisa' berjumpa tidak kira atas apa jua keperluan dan keadaan perlulah berteman bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: "Tiada akan menyendiri seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan syaitan akan menjadi orang yang ketiga."

Ada yang menimbulkan alasan malas menyusahkan rakan untuk menemankan kita. Malas nak tunggu rakan. Malas itu malas ini. Besar sangatkah malas kita berbanding arahan Allah dalam Al-Quran? Tegarkah kita melawan syariatNya.

Syariat Islam turut menyarankan kepada kita untuk menundukkan pandangan. Bukan sahaja haram melihat aurat bukan muhrim malahan bahagian-bahagian bukan aurat turut dilarang. Sabda Rasulullah SAW: "Wahai Ali janganlah pandangan (yang kedua) menuruti pandangan (yang pertama) kerana sesungguhnya pandangan pertama itu adalah bagimu sedang yang kedua tidak (berdosa)."

Kalau dah bergaul dan bercampur bebas masakan kita mampu menahan dan menjaga pandangan. Usah menegakkan benang yang sememangnya basah. Ana bukanlah nak menghukum tanpa memberikan jalan penyelesaian. Jom kita berkongsi tip-tip berurusan dengan bukan muhrim:

1. Elakkan berhubungan dengan lelaki. Kalau ada peluang untuk minta bantuan dari nisa' (bagi nisa') dan rijal (bagi rijal), mintalah tolong mereka. Lainlah benda-benda di luar kudrat kita contohnya apabila nisa' minta bantuan rijal soal baiki latop, kereta dan perkara-perkara yang tak mampu dilakukan nisa'. Silalah mempergunakan kemahiran dan kepakaran yang ada. Begitu jugalah sebaliknya bagi rijal.

2. Andai terpaksa berhubung dengan bukan muhrim gunakanlah perantaraan berbentuk tulisan seperti sms, nota kecil dan sebagainya. Ringkaskan dan padatkan ayat-ayat. Tak perlulah meletakkan ikon senyum yang sememangnya comel. Tak perlu disertakan dengan gelak ketawa seperti huhu, haha, hihi, hikhik. Seolah –olah kanak-kanak tadika mengajar mengeja. Apatah lagi benda-benda lain yang kurang berfaedah.

Andai terdesak sangat untuk bercakap melalui telefon, jagalah suara anda terutama nisa' selari dengan tuntutan Al-Quran: "Wahai isteri2 nabi, kamu bukanlah seperti perempuan-perempuan lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah lemah lembutkan suara dalam berbicara, sehingga bangkit nafsu org yang ada penyakit dlm hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yg baik." Takkanlah nak tunggu Allah menempelak kita dengan balaNya?

3. Tundukkan hati. Sepatutnya apabila kita berurusan dengan bukan muhrim kita perlu risaukan kemurkaanNya. Banyak-banyaklah berdoa semoga urusan dipermudahkan dan bebas daripada fitnah. Minta dariNya supaya dipelihara daripada panahan syaitan.

4. Tundukan pandangan. Jangan tertipu dgn matapelajaran kaedah berkomunikasi yang kita belajar "make eye contact with the person you're talking to". Melainkan dengan kaum sejenis. Teramatlah disarankan demi membina ukhwah yang kukuh. Berwaspada dengan konsep "dari mata turun ke hati". Tak bermakna tundukan pandangan sehingga jalan terlanggar tiang.

5. Mempercepatkan urusan. Apabila ada urusan, segerakanlah kerja. Tak perlulah sampai hendak berkongsi hal peribadi, luahan hati, gelak ketawa dan sebagainya yang tidak penting. Berbincanglah di tempat yang sesuai dan segerakan urusan. Jangan lupa peneman anda.

Teringat satu mail yang ana baca mengenai luahan rijal. Jom kita kongsi bersama. Insya Allah ada manfaatnya.



"Lalu apa yang telah aku lakukan selama ini...Ya Rabb...tolong ampuni aku...untuk setiap pandangan yang tak terjaga, lisan yang merayu dan hati yang tak terhijab... Ya Rabb...Engkau mengawasi kami tiap detik, karena kasih sayangMu kepada kami Engkau perintahkan malaikat silih berganti menemani kami siang dan malam..."

Semoga ia menjadi peringatan bagi kita. Semoga kita dapat mewujudkan biah solehah dalam keredhaanNya. Peringatan untuk diri yang lemah dan banyak kesilapan serta kekurangan dan sahabat-sahabat Islam yang dikasihi.

"Elakkanlah berhubung tanpa urusan yang benar2 penting dengan wanita2 (berlawanan jantina) kerana di situlah letaknya jalan SYAITAN".