DuHai HaTi.....


“Kau ditipu wahai hati?” kata si akal.
“Tidak, kau tidak ditipu wahai hati..” kata si nafsu pula.
“Jangan kau mempercayai kata-kata dusta nafsu itu wahai hati yang masih hidup.”
“Jangan kau mendengar umpatan dan tuduhan si akal itu wahai hati yang menjadi milikku.”
“Sesungguhnya aku adalah yang benar antara yang benar. Apakah aku tegar mendustaimu setelah sekian lama aku menimba ilmu? Tidak ingatkah engkau wahai hati yang masih hidup bahawa aku adalah ciptaan terindah dan kamil antara semua ciptaan Khaliqmu? Aku hanya dianugerahkan untuk manusia, iaitu sesempurna kejadianNya. Sedangkan kesemua makhukNya yang lain memiliki nafsu yang durjana itu. Dengarlah bicara haqku ini wahai hati yang suci...” Rayu si akal lagi.
Suasana sepi seketika..
“Benar kata-katamu itu wahai si akal.Sesungguhnya aku...”kata-kata si hati dipatahkan oleh si nafsu.
“Wahai hati, sudah lupakah engkau bahawa kita pernah mengikat janji setia suatu ketika dahulu? Engkau berjanji menjadi sahabatku yang paling setia di buana ini. Engkau berjanji menjadi sahabat yang paling mencintaiku. Malahan engkau berjanji menuruti kesemua kemahuanku. Mengapa sekarang engkau tegar mendustai janji-janjimu itu wahai hati yang menjadi milikku? Apakah engkau mahu menjadi munafik? Apabila berjanji ia mungkiri, apabila diamanahkan ia khianati dan apabila bercakap ia dustai. Apakah engkau juga mahu tergolong dalam golongan munafik ini?” hujah si nafsu.
Hati kebingungan. Apakah yang harus ia lakukan sekarang? Lalu si hati mengakui akan kata-kata si nafsu itu.
“Benar katamu itu wahai nafsu bahawa Tuhanku pernah berfirman katanya: “sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan pembohongan adalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah.Dan mereka itu adalah orang-orang pendusta” (surah an-Nahl:105).
Si nafsu durjana itu tersenyum puas setelah mendengar setiap bait kata-kata yang dilontarkan oleh si hati yang sudah mati itu. Si akal yang bijaksana kecewa lagi, seperti kata-kata dan nasihatnya selama ini tidak membuahkan sebarang hasil.
“Wahai hati, apakah engkau sudah mati!” bentak si akal dengan perasaan hampa dan kecewa yang mendalam.
“Aku kecewa dengan sikapmu yang terlalu mengikutkan si nafsumu itu. Engkau seharusnya meletakkan aku iaitu akal mengatasi nafsumu itu sendiri. Apakah engkau mahu imanmu itu rebah lalu menyembah bumi dengan longlai sekali? Apakah engkau tegar memperlakukan imanmu sehingga begitu? Bangunlah wahai hati yang mati. Kuatkan kembali sendi-sendimu yang lemah itu. Bangunlah...bangunlah...bangunlah...aku merayu padamu wahai hati. Bangunlah agar aku bisa menghidu wanginya haruman hatimu di segenap buana bak kasturi di syurga abadi. Wahai hati ingatlah akan doa Rasulullah: wahai yang membolak-balikkan hati, tetapkan hatiku atas agamaMu.”
Tiba-tiba datang satu suara, apabila terdengarnya tenteramlah seluruh saraf di segenap tubuh. Katanya dengan tenang.
“Duhai hati yang masih hidup, ingatlah akan firman Tuhanmu: orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah, ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati-hati akan menjadi tenang” (surah ar-Ra’d:28).
Sambungnya lagi, “Dan barang siapa yang berpaling dari mengingati Allah yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan(yang menyesatkannya) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.” (surah az-Zukhruff:36).
“Duhai hati yang hidup, sentiasalah mengingati Allah dan sentiasalah berzikir menyebut nama Tuhnmu. Ketahuilah duhai hati, berzikir mengingati Allah itu merupakan ubat yang paling mujarab untuk mengubati jiwamu yang sedang parah kini. Malahan duhai hati, ingatlah bahawa zikir juga merupakan senjata yang paling tajam dalam menghadapi serangan-serangan zaman, pancaroba hidup dan liku-likunya. Seperkara lagi duhai hati, seseoran yang berpegang teguh dengan agama tidak akan mengidap penyakit jiwa.” Setelah itu malaikat berlalu pergi sambil mengusap-usap air mata si hati yang mengalir hangat di pipinya. Dengan senyuman yang menguntum malaikat melambai dan terus menghilangkan diri.
“Wahai sahabat-sahabatku sekalian, dengarlah baik-baik apa yang inginku bicarakan ini. Mulai sekarang aku mengisytiharkan bahawa aku memungkiri janji-janjiku denganmu wahai si nafsu. Dahulu kau pernah menjadi sahabat karibku walaupun seketika, namun apa yang aku perolehi ketika bersamamu? Aku hanya memperolehi keseronokan duniawi yang hanya seketika, fana belaka. Hatiku pula resah gelisah, gelap gelita, kotor sehingga tiada sepicing pun nur Ilahi dapat menembusi hatiku ini. Namun kubersyukur kepada Allah dengan anugerahNya yang agung iaitu akal. Ternyata akalku masih mampu berbicara melontarkan nasihat demi nasihat untukku. Aku bersyukur pada Ya Rabb kerana menyedarkan diriku ini. Aku sedar kini bahawa akallah yang harus aku dahului mengatasi si nafsu.”
Ku lihat si nafsu rebah menyembah bumi, si akal tersenyum kesyukuran dan hatiku kini mekar semekar mawar di jambangan dan harum seharum wangian kasturi di syurga. Kami tidak henti-henti memuji kebesaran Ilahi sehinggan terhasillsh alunan zikir sungguh syahdu dan mengasyikkan. Kini dengan limpah kurniaNya, aku mampu menghirup aura segar iman yang semakin meningkat.
“Ya Allah, janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau berikan hidayahMu.” kami bersama-sama menaminkan doaku itu.

Sambutlah Valentine Sempena Kejatuhan Islam di Sepanyol



Hari Valentine sudah berlalu. Mawar merah yang telah diberikan oleh kekasih hati masih tersimpan di hati walaupun sudah melayu.

"Terasa begitu indah hidup ini bila ada insan yang meletakkanku sebagai permaisuri di hati…"

Begitulah indahnya perasaan orang yang sedang berkasih-sayang tiap kali 14 Februari muncul. Tanpa disedari, rupa-rupanya budaya menyambut Hari Valentine mempunyai sejarah hitam disebaliknya. Valentine Day adalah suatu perayaan yang berdasarkan kepada pesta jamuan "supercalis" bangsa Romawi kuno di mana setelah mereka masuk agama Nasrani (Kristian), maka berubah menjadi acara keagamaan yang dikaitkan dengan kematian St. Valentine.

Mengikut beberapa sumber, Valentine adalah nama bagi seorang paderi Kristian yang giat menyebarkan agama tersebut di Rom ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Pada masa pemerintahannya, Claudius II telah memenjarakan orang-orang Kristian kerana mengamalkan agama yang bertentangan dengan agamanya. Oleh kerana Valentine seorang penyebar agama Kristian, beliau juga telah ditangkap, diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Orang-orang Kristian menganggap bahawa Valentine merupakan seorang yang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganut-penganutnya. Dia disamakan dengan Jesus yang kononnya mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Valentine bagi penganut agama Kristian adalah lambang kasih sayang sejati diantara seorang hamba dengan Tuhannya dan sesama manusia. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertulis "From your Valentine".

Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa Valentine adalah sempena hari kejatuhan kerajaan Islam Sepanyol. Paderi St. Valentino telah mengumumkan hari tersebut sebagai hari kasih sayang kerana padanya Islam adalah ZALIM! Tumbangnya Kerajaan Islam Sepanyol dirayakan sebagai Hari Valentine.

Semoga anda semua mengambil iktibar!!! Mengapa kita ingin menyambut Hari Valentine ini padahal ia adalah hari jatuhnya kerajaan Islam kita di Sepanyol...



*Artikel ini ditulis oleh Al-Marhum Ustaz Rosdi Yusof dan diolah sedikit oleh Hasanah Abd. Khafidz. Artikel ini telah diterbitkan semula dalam www.drhasanah.com