Bangun Qiamullail atau Hadapi Kubur Yang Gelap Gelita...


 
Pesanan Rasulullah s.a.w. yang kedua menggalakkan kita agar solat malam untuk menghadapi kesunyian kubur kelak. Umum mengetahui solat adalah penggerak utama pembangunan jiwa dan rohani. Solat malam tidak dapat ditandingi oleh sebarang ibadah kerana ia membekalkan kepada golongan yang beriman dengan potensi dan daya juang yang tinggi. Kenyataan ini diperkuatkan lagi dengan firman ALLAH s.w.t :

Sesungguhnya jiwa yang terbentuk pada waktu malam itu lebih mantap (keperibadiannya) dan lebih jitu kata-katanya.                                                                                 (Surah Al-Muzzammil : 6)

Rasulullah s.a.w. juga pernah menjelaskan keutamaan dan kelebihan solat malam. Sabda baginda s.a.w. :

“Hendaklah kalian mengerjakan solat pada waktu malam, kerana itu adalah amalan orang-orang soleh sebelum kamu dan yang mendekatkan kamu kepada Tuhanmu. Penebus segala dosa, pencegah dari segala keburukan dan dapat menghapuskan penyakit yang terdapat dalam tubuh seseorang.”                                                                                                        (Riwayat Al-Tabrani dan Al-Tirmizi)

Diriwayatkan bahawa Jibril a.s dating menemui Nabi s.a.w dan berkata:

“Hai Muhammad, hiduplah sepertimana yang engkau mahu, namun engkau pasti mati. Berbuatlah apa yang engkau mahu, namun engkau pasti berpisah dengannya. Ketahuilah bahawa keutamaan seseorang mukmin itu ialah dengan qiamullail (solat malam), manakala kemuliaannya ialah dengan sikap berdikari (tidak bergantung kepada orang lain).                    (Riwayat Al-Tabrani)

Justeru itu, jelas sekali bahawa solat malam dapat membentuk para da’i menjadi hamba ALLAH yang ‘Rabbani’, kerap berhubung dengan ALLAH, berjiwa cerah, mempunyai hati yang peka, kewaspadaan yang tinggi dan daya fikir yang kritis.

Jika seseorang itu tidak bersifat dengan sifat-sifat di atas, maka ia bukanlah da’i yang sebenar. Bencana yangt menimpa Islam pada masa kini ialah terdapat golongan-golongan pendakwah yang tidak mempunyai ciri-ciri, sifat-sifat dan akhlak seorang pendakwah yang sebenar. Bahkan lebih teruk lagi ada dalam kalangan pendakwah Islam yang melakukan dosa-dosa besar! Na’uzubillah

 Solat malam tidak akan dapat dijadikan amalan kebiasaan kecuali dengan menggagahkan diri, melawan syaitan dan nafsu terutamanya pada peringkat awal. Rasulullah s.a.w teah menjelaskan perkara ini dengan sabdanya:

“Apabila seseorang hendak menunaikan solat malam, datanglah malaikat seraya berkata kepadanya: “Bangunlah, hari telah pagi, sembahyang dan ingatlah Tuhanmu. Kemudian syaitan pun datang dan memujuknya: “Malam masih panjang, engkau boleh tidur lagi, nanti engkau boleh bangun. “ kalau dia bingkas bangun dari tempat tidurnya menunaikan solat, maka badannya akan menjadi ringan (cergas) dan sihat. Kalau dia patuh kepada syaitan. Tidur hingga ke siang, syaitan akan kencing di dalam telinganya.”                                        ( Riwayat Al-Tabrani)

Rasulullah s.a.w. juga mengaitkan antara solat malam dengan mendapat ketenangan dan kedamaian di dalam kubur: Sabda baginda s.a.w :

“Orang yang mencerahkan malamnya dengan ibadah dan patuh kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan menerangkan kuburnya dengan rahmat dan kurniaan-Nya.”

Alangkah besarnya kurniaan ALLAH terhadap hamba-Nya, dengan beberapa rakaat yang dikerjakan pada waktu malam, dapat menyelamatkannya daripada seksaan dan kesunyian kubur. Selamatlah orang-orang yang tidak nyenyak tidurnya kerana ibadah. Selamatlah mereka dari kesengsaraan di dalam kubur.
Rasululah s.a.w pernah membayangkan tentang kubur dan seksaannya dengan bersabda:

“Kubur adalah anak tangga pertama ke akhirat. Jika seseorang itu selamat (dari seksaannya), maka peringkat selepas itu akan lebih mudah. Tetapi jika dia tidak selamat, maka apa yang akan dihadapnya selepas itu lbih sukar.”

Seorang mujahid berkata:

“Yang pertama menyapa si mati adalah lubang kuburnya, maka berkata kubur itu: “Akulah rumah ulat dan cacing, rumah sepi, gelap dan keseorangan. Inilah persiapanku untukmu, maka apa pula persiapanmu untukku?”

Rasulullah s.a.w. menerangkan:

“Apabila seseorang manusia meninggal dunia (setelah dikebumikan), maka datanglah dua malaikat yang kehitaman dan kebiruan warna mereka. Mereka dikenali sebagai Munkar dan nakir. Kedua-duanya bertanya kepada si mati: “Apa katamu (pandanganmu) terhadap nabi?” Sekiranya dia beriman, dia menjawab: “Nabi ialah hamba ALLAH dan Rasul-Nya, aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH dan Muhammad pesuruh ALLAH.” Kedua-dua malaikat itu lantas berkata: “Kami memang tahu, dahulu pun engkau mengucapkan syhadah itu.” Kemudian kuburnya dilapanglan seluas tujuh puluh hasta kali tujuh puluh hasta serta diterangkan kuburnya. Sekiranya dia seorang munafik, dia menjawab: “Aku tidak tahu, aku pernah mendengar orang mengatakannya dan aku pun mengatakannya.” Kedua-dua malaikat itu pun berkata: “Kami memang tahu engkau pernah mengatakan yang demikian itu.” Kemudian diperintahkan kepada bumi supaya menghimpitnya sehingga berselang-seli tulang-belulangnya.
 
Rasulullah s.a.w. juga bersabda:

“Apabila seseorang itu hendak dihimpit di dalam kuburnya dari sebelah kepadanya, maka datanglah ibadah tilawatul Quran (yang telah dilakukannya semasa di dunia) menghalangnya. Apabila himpitan itu datang dari hadapannya, ia dihalang oleh ibadah sedekahnya, dan apabila himpitan itu datang dari arah kakinya, ia dihalang oleh ibadah pemergiannya ke masjid-masjid.”



Begitulah beberapa gambaran kesengsaraan dan penderitaan di dalam kubur yang akan dihadapi oleh mereka yang sentiasa lalai daripada mengerjakan amal ibadah ketika hidup di dunia. Hanya dengan solat malam yang mampu menyelamatkan kita daripada seksaan kubur tersebut. Ayuh berdoalah kepada ALLAH S.W.T agar diberi kekuatan kepada kita untuk melawan godaan syaitan dan nafsu agar dapat menggagahkan diri dan jiwa kita untuk menunaikan solat malam. Moga-moga kita tergolong dalam kalangan da’i yang mempunyai ciri-ciri da’i yang sebenar dan dijauhkan dari segala bentuk maksiat dan dosa-dosa besar. 

~ SEMOGA KITA SEMUA ISTIQAMAH DENGAN IBADAH QIAMULLAIL SEPANJANG
RAMADHAN AL-MUBARAK INI~