Jangan kau riak...


Assalamualaikum..

Maaf jika apa yg ingin dikatakan ni bt sape2 terase...tp perlu bgtau untuk peringatan kita smua trmasuk diri aku sndiri.. Jgn sekali2 kita riak dgn ape yg dah kita lakukan..walau sehebat manapun amalan kita..ia hanya sia2 jika dilakukan semata2 untuk mendapat pujian manusia.. Biarlah manusia tdk memandang amalan kita yg pntg ALLAH pandang...biar manusia membenci kerja makruf kita yg pntg ALLAH suka & redha.. Apa yg pntg adalah redha ALLAH bkn redha manusia smata2..

Kalau kita buat sesuatu amal kebaikan x perlu nk post kt dlm fb/twitter/blog & sbgnya. Contoh:

"Hari ni aku sedekah rm1000 kt masjid.."
"hari ni aku jadi imam solat jumaat."
"Hebat hari ni aku bg ceramah kt masjid".
"hari ni aku bgn qiamullail kul 3 pagi".
dan macam2 lagi.

Kemudian berpuluh friends kita akan like3x, dan berpuluh2 juga akan komen dgn pujian dan pujaan.. Wah, hebat dipandangan manusia..tp adakah ALLAH menilai amalan kita tersebut jika dilakukan semata2 ingin mendapat pujian manusia??


Ingatlah hidayah itu ditangan ALLAH..hari ni kita bleh bersedekah kerana hidayah ALLAH, hari ni kita jadi imam juga kerana hidayah ALLAH..hari ni kita bleh bg ceramah agama juga kerana hidayah ALLAH.. bkn kerana kehebatan kita. Kita hanya hamba yg lemah. Bila2 masa ALLAH bleh tarik blk hidayah dr kita jika DIA mahukan. Ape yg pntg berdoalah semoga kita istiqamah dgn amalan trsebut dan semoga ALLAH terus limpahkan hidayahNYA kepada kita. Amin Wallahua'lam. peace! V(^_^)

Sebesar-besar keaiban...


Bismillahirrahmanirrahim,,,

"Sebesar-besar keaiban (keburukan) adalah engkau mengira keburukan orang lain sedangkan keburukan itu ada dalam dirimu sendiri." -Imam As-Syafie

Ramai dalam kalangan manusia yang tidak memandang dan memerhatikan kekurangan dan keburukan yang ada dalam dirinya, tetapi sibuk menghitung dan mengira keburukan orang lain. Pantang sahaja melihat kekurangan dan keaiban orang, terus sahaja diperkatakan dan disebarkan. Terutama sekali dengan adanya kemudahan media baru seperti facebook, twitter dan blog. Amat mudah sekali setiap perkara disebarkan. Hanya menggunakan jari jemari menekan keyboard, beberapa saat sahaja berita itu terus tersebar ke seluruh pengetahuan rakan-rakan kita bahkan ke seluruh dunia! Bayangkan betapa banyak saham yang akan kita peroleh di akhirat kelak.

Hakikatnya, keburukan dan kekurangan di dalam dirinya sendiri tidak disedari ataupun sengaja buat-buat tak nampak. Sebaliknya apabila dia berjaya melakukan sesuatu kejayaan dan kebaikan, sehingga ke langit bumi kebaikan itu dilaung-laungkan.

Saidina Ali r.a. berkata, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda :

“Sebesar-besar keburukan apabila engkau melihat keburukan dan kekurangan yang ada pada diri orang lain sedangkan keburukan dan kekurangan yang engkau cemuh dan cela itu ada dalam dirimu sendiri.”

Hadis di atas bukan bermaksud, apabila kita mendapati kekurangan dalam diri orang lain, kita juga menyamakan diri kita dengan diri orang yang mempunyai kekurangan itu. Maksud hadis di atas adalah cukup bagi kita tidak menceritakan keburukan orang lain kepada khalayak ramai dan cuba memperbaiki diri sendiri apabila keburukan itu ada dalam diri kita.

Apa pula tindakan kita sekiranya mendengar atau mengetahui tentang keburukan seseorang daripada orang lain? Adakah kita hanya mendengar dan mendiamkan diri? Atau turut sama mengumpat?

Islam mewajibkan sesiapa yang mendengar apa-apa perkataan yang berdosa supaya menyelar orang yang melakukannya. Islam mewajibkan seorang Muslim mempertahankan nama baik saudaranya. Islam mengajar supaya orang-orang yang menghakis maruah dan nama baik orang lain diberi pengajaran yang sesuai dengan syrak dan akhlak Islam. Sabda Rasulullah s.a.w :

“Barangsiapa yang mempertahankan maruah saudaranya ketika saudaranya itu tidak ada, maka wajiblah ALLAH melepaskannya dari seksa api neraka.”                                                          (Riwayat Ahmad)

Sabda Rasulullah s.a.w :


“Barangsiapa yang mendengar saudaranya diumpat namun dia tidak membelanya padahal dia mampu, maka dia turut sama menanggung dosa umpatan itu di dunia dan di akhirat.” (Hadith Asfahani)

Orang-orang yang suka mengintai-ngintai aib orang lain dan merosakkan nama baiknya, mereka hendaklah merasa takut akan kemurkaan ALLAH s.w.t serta seksaanNYA. Rasulullah s.a.w. menjelaskan:

“Wahai orang-orang yang beriman dengan lisan, akan tetapi imannya belum meresap ke dalam hatinya, janganlah kalian menyakiti orang lain. Jangan mengintai-ngintai aurat (keaiban), sesungguhnya barangsiapa yang cacat celanya diintai oleh ALLAH, nescaya ALLAH akan bukakan pekungnya walaupun dalam kenderaannya sendiri.” (Riwayat Abu Daud)

Sekiranya keburukan yang ada dalam diri orang lain itu tidak menyenangkan kita, maka begitulah sebaliknya, keburukan yang ada dalam diri kita juga pasti tidak disenangi dan disukai oleh orang lain. Oleh itu, dalam usaha kita memperbaiki kekurangan orang lain, perbaikilah diri kita dahulu sebaik yang mungkin. Wallahua’lam..

Renung-renungkan dan selamat beramal! (^_^)


Bangun Qiamullail atau Hadapi Kubur Yang Gelap Gelita...


 
Pesanan Rasulullah s.a.w. yang kedua menggalakkan kita agar solat malam untuk menghadapi kesunyian kubur kelak. Umum mengetahui solat adalah penggerak utama pembangunan jiwa dan rohani. Solat malam tidak dapat ditandingi oleh sebarang ibadah kerana ia membekalkan kepada golongan yang beriman dengan potensi dan daya juang yang tinggi. Kenyataan ini diperkuatkan lagi dengan firman ALLAH s.w.t :

Sesungguhnya jiwa yang terbentuk pada waktu malam itu lebih mantap (keperibadiannya) dan lebih jitu kata-katanya.                                                                                 (Surah Al-Muzzammil : 6)

Rasulullah s.a.w. juga pernah menjelaskan keutamaan dan kelebihan solat malam. Sabda baginda s.a.w. :

“Hendaklah kalian mengerjakan solat pada waktu malam, kerana itu adalah amalan orang-orang soleh sebelum kamu dan yang mendekatkan kamu kepada Tuhanmu. Penebus segala dosa, pencegah dari segala keburukan dan dapat menghapuskan penyakit yang terdapat dalam tubuh seseorang.”                                                                                                        (Riwayat Al-Tabrani dan Al-Tirmizi)

Diriwayatkan bahawa Jibril a.s dating menemui Nabi s.a.w dan berkata:

“Hai Muhammad, hiduplah sepertimana yang engkau mahu, namun engkau pasti mati. Berbuatlah apa yang engkau mahu, namun engkau pasti berpisah dengannya. Ketahuilah bahawa keutamaan seseorang mukmin itu ialah dengan qiamullail (solat malam), manakala kemuliaannya ialah dengan sikap berdikari (tidak bergantung kepada orang lain).                    (Riwayat Al-Tabrani)

Justeru itu, jelas sekali bahawa solat malam dapat membentuk para da’i menjadi hamba ALLAH yang ‘Rabbani’, kerap berhubung dengan ALLAH, berjiwa cerah, mempunyai hati yang peka, kewaspadaan yang tinggi dan daya fikir yang kritis.

Jika seseorang itu tidak bersifat dengan sifat-sifat di atas, maka ia bukanlah da’i yang sebenar. Bencana yangt menimpa Islam pada masa kini ialah terdapat golongan-golongan pendakwah yang tidak mempunyai ciri-ciri, sifat-sifat dan akhlak seorang pendakwah yang sebenar. Bahkan lebih teruk lagi ada dalam kalangan pendakwah Islam yang melakukan dosa-dosa besar! Na’uzubillah

 Solat malam tidak akan dapat dijadikan amalan kebiasaan kecuali dengan menggagahkan diri, melawan syaitan dan nafsu terutamanya pada peringkat awal. Rasulullah s.a.w teah menjelaskan perkara ini dengan sabdanya:

“Apabila seseorang hendak menunaikan solat malam, datanglah malaikat seraya berkata kepadanya: “Bangunlah, hari telah pagi, sembahyang dan ingatlah Tuhanmu. Kemudian syaitan pun datang dan memujuknya: “Malam masih panjang, engkau boleh tidur lagi, nanti engkau boleh bangun. “ kalau dia bingkas bangun dari tempat tidurnya menunaikan solat, maka badannya akan menjadi ringan (cergas) dan sihat. Kalau dia patuh kepada syaitan. Tidur hingga ke siang, syaitan akan kencing di dalam telinganya.”                                        ( Riwayat Al-Tabrani)

Rasulullah s.a.w. juga mengaitkan antara solat malam dengan mendapat ketenangan dan kedamaian di dalam kubur: Sabda baginda s.a.w :

“Orang yang mencerahkan malamnya dengan ibadah dan patuh kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan menerangkan kuburnya dengan rahmat dan kurniaan-Nya.”

Alangkah besarnya kurniaan ALLAH terhadap hamba-Nya, dengan beberapa rakaat yang dikerjakan pada waktu malam, dapat menyelamatkannya daripada seksaan dan kesunyian kubur. Selamatlah orang-orang yang tidak nyenyak tidurnya kerana ibadah. Selamatlah mereka dari kesengsaraan di dalam kubur.
Rasululah s.a.w pernah membayangkan tentang kubur dan seksaannya dengan bersabda:

“Kubur adalah anak tangga pertama ke akhirat. Jika seseorang itu selamat (dari seksaannya), maka peringkat selepas itu akan lebih mudah. Tetapi jika dia tidak selamat, maka apa yang akan dihadapnya selepas itu lbih sukar.”

Seorang mujahid berkata:

“Yang pertama menyapa si mati adalah lubang kuburnya, maka berkata kubur itu: “Akulah rumah ulat dan cacing, rumah sepi, gelap dan keseorangan. Inilah persiapanku untukmu, maka apa pula persiapanmu untukku?”

Rasulullah s.a.w. menerangkan:

“Apabila seseorang manusia meninggal dunia (setelah dikebumikan), maka datanglah dua malaikat yang kehitaman dan kebiruan warna mereka. Mereka dikenali sebagai Munkar dan nakir. Kedua-duanya bertanya kepada si mati: “Apa katamu (pandanganmu) terhadap nabi?” Sekiranya dia beriman, dia menjawab: “Nabi ialah hamba ALLAH dan Rasul-Nya, aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH dan Muhammad pesuruh ALLAH.” Kedua-dua malaikat itu lantas berkata: “Kami memang tahu, dahulu pun engkau mengucapkan syhadah itu.” Kemudian kuburnya dilapanglan seluas tujuh puluh hasta kali tujuh puluh hasta serta diterangkan kuburnya. Sekiranya dia seorang munafik, dia menjawab: “Aku tidak tahu, aku pernah mendengar orang mengatakannya dan aku pun mengatakannya.” Kedua-dua malaikat itu pun berkata: “Kami memang tahu engkau pernah mengatakan yang demikian itu.” Kemudian diperintahkan kepada bumi supaya menghimpitnya sehingga berselang-seli tulang-belulangnya.
 
Rasulullah s.a.w. juga bersabda:

“Apabila seseorang itu hendak dihimpit di dalam kuburnya dari sebelah kepadanya, maka datanglah ibadah tilawatul Quran (yang telah dilakukannya semasa di dunia) menghalangnya. Apabila himpitan itu datang dari hadapannya, ia dihalang oleh ibadah sedekahnya, dan apabila himpitan itu datang dari arah kakinya, ia dihalang oleh ibadah pemergiannya ke masjid-masjid.”



Begitulah beberapa gambaran kesengsaraan dan penderitaan di dalam kubur yang akan dihadapi oleh mereka yang sentiasa lalai daripada mengerjakan amal ibadah ketika hidup di dunia. Hanya dengan solat malam yang mampu menyelamatkan kita daripada seksaan kubur tersebut. Ayuh berdoalah kepada ALLAH S.W.T agar diberi kekuatan kepada kita untuk melawan godaan syaitan dan nafsu agar dapat menggagahkan diri dan jiwa kita untuk menunaikan solat malam. Moga-moga kita tergolong dalam kalangan da’i yang mempunyai ciri-ciri da’i yang sebenar dan dijauhkan dari segala bentuk maksiat dan dosa-dosa besar. 

~ SEMOGA KITA SEMUA ISTIQAMAH DENGAN IBADAH QIAMULLAIL SEPANJANG
RAMADHAN AL-MUBARAK INI~

PUASA : TARBIYYAH BUAT PARA DA'I


Bismillah walhamdulillah,

Masih diberi taufik dan inayah dari ALLAH s.w.t  untuk aku menulis lagi. Menjelang Ramadhan Al-Mubarak tidak lama lagi, aku ingin mengambil kesempatan dan peluang untuk berkongsi serba sedikit  tentang salah satu anjuran Rasulullah buat bekalan para da’i bagi menghadapi cabaran dan ranjau yang penuh berduri dalam kehidupan ini.

Sabda baginda kepada Abi Zar Radiyallahu ‘anhu:

“Sekiranya engkau akan mengembara, adakah engkau akan membuat persiapan?” jawab Abu Zar: “Ya!” Sabda baginda: “Bagaimana pula dengan pengembaraan menuju hari kiamat? Mahukah engkau mendengar sekiranya aku memberitahu mu tentang bekalan yang berguna untuk menghadapi hari tersebut?” Jawab Abu Zar: “Bahkan aku mahu wahai Rasulullah, demi ayah dan ibuku.” Mendengar jawapan Abu Zar itu, baginda pun bersabda:

# Berpuasalah di hari yang panas terik demi menghadapi hari kebangkitan

# Sembahyanglah dua rakaat di malam gelap gelita demi menghadapi kesunyian dan kegelapan kubur

# Tunaikan haji demi menghadapi cabaran-cabaran besar yang mendatang

#  Hulurkan sedekah untuk orang miskin

# Sentiasa ungkapkan kalimah yang benar

# Diam dan hindarkan diri dari bertutur kata-kata yang tercela dan buruk.

Inilah beberapa saranan dari Rasulullah s.a.w bagi mereka yang merentasi perjalanan mencari keredhaan ALLAH dalam kalangan orang yang beriman dan para da’i. Anjuran ini menggesa kita supaya melatih dan membiasakan diri dengan kehidupan yang sulit dan payah. Mengasuh diri dengan menahan nafsu daripada sentiasa menikmati apa yang diingini dan disukai.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Biasakan diri dengan kesusahan kerana nikmat kesenangan hidup tidak kekal selama-lamanya.
Saranan Rasulullah s.a.w. ini adalah salah satu cara yang praktikal dalam tarbiyyah. Cara tersebut merupakan suatu pendekatan yang mempunyai kesan yang mendalam dalam pembentukan dan pemurnian diri manusia. Latihan seperti ini mampu menjadikan da’i seorang hamba ALLAH yang benar-benar patuh dan tunduk kepada Rabbul ‘Alamin

Sebagai contoh ialah ibadah puasa. Puasa adalah salah satu latihan kerohanian yang amat berkesan. Puasa dapat menghaluskan perasaan, membersihkan fikiran, memurnikan hati dan menjernihkan jiwa.

Oleh kerana itu, orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan penyerahan diri kepada ALLAH pada hari dan saat yang panas terik akan mendapat ganjaran iaitu dibebaskan daripada kepanasan hari kiamat yang tiada tolak bandingnya.

Rasulullah s.a.w. pernah berpesan kepada Sayyidatina Aisyah r.a dengan sabdanya:

“Wahai Aisyah, hendaklah engkau sentiasa mengetuk pintu syurga dengan lapar.”

Tersebut di dalam hadith Qudsi:

“Setiap amalan anak Adam diberikan ganjaran sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda kecuali puasa. Sesungguhnya ia (puasa) adalah untuk-Ku, Akulah yang akan memberikan ganjaran. Dia meninggalkan syahwat dan makan semata-mata kerana-Ku.

Rasulullah s.a.w juga telah mengisyaratkan darjat untuk mereka yang berpuasa dan berjaya mengawal hawa nafsu mereka. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah pintu bernama Al-Rayyan, di mana orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu pada hari kiamat. Tiada seorang pun yang dapat melalui pintu itu. Apabila mereka semua masuk, pintu itu akan ditutup kembali dan tidak aka nada lagi orang yang akan masuk melaluinya.”

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:

“Tiada seorang pun hamba yang berpuasa satu hari pada jalan ALLAH kecuali ALLAH akan menjauhkan wajahnya daripada api neraka selama tujuh puluh musim.”

Rasulullah juga menjelaskan bahawa puasa dapat memberi syafa’at kepada tuannya pada hari akhirat kelak. 

Sabda baginda s.a.w. :

“Puasa dan Al-Quran memberi syafa’at kepada seseorang hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: “Wahai Tuhan, aku telah menghalangnya daripada makan dan nafsu syhawat, maka berikan syafa’at kepadanya disebabkan oleh aku.” Dan berkata pula Al-Quran: “Aku telah menghalangnya daripada tidur pada waktu malam, maka berilah syafa’at kepadanya disebabkan oleh aku.” 

Begitulah beberapa gambaran tentang hikmah dan kelebihan bagi seseorang yang benar-benar ikhlas mengerjakan ibadah puasa. Maka setiap da’i hendaklah bermujahadah terhadap dirinya dan melatih jasad dan nafsunya dengan berpuasa. Sesungguhnya ia merupakan satu amalan yang kuat dan penting untuk pembersihan jiwa (tazkiyatun nafs) agar dia mampu untuk merentasi hari kiamat dengan penuh aman kelak seperti mendapat pemeliharaan ALLAH yang berterusan. Wallahua’lam.

Moga ibadah puasa kalian diterima ALLAH s.w.t sebagai amal ibadah yang mampu menjadi benteng dan menghindarkan diri kalian daripada bahang kepanasan api neraka kelak. 


~SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK~


MUSUHMU YANG SEBENAR ADALAH NAFSUMU SENDIRI



Bismillahirahmanirrahim..

Alhamdulillah kali ini aku akan berkongsi serba sedikit tentang dugan dan cubaan yang sering dihadapi oleh para da’I seperti kita dalam mengharungi kehidupan yang penuh mehnah dan tribuasi ini.
Antara dugaan dan ujian yang sering kali melanda para da’i adalah nafsunya sendiri yang sentiasa cuba untuk menguasainya. Nafsu dengan segala karenah bukan mudah untuk diatasi oleh seorang da’i.  Seperti kata-kata Nabi Yusuf ‘Alaihissalam di dalam al-Quran :

“Aku tidak dapat membebaskan diriku kerana nafsu yang sering menyuruh kepada keburukan, kecuali orang yang dirahmati oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”                                                                                                                   (Surah Yusuf : 53)

Dalam kesibukan dan hingar bingar kehidupan sama ada dalam bidang sosial, ekonomi, politik, kekeluargaan, gerakan dan keasyikan mencari keperluan hidup, seorang da’i mungkin terlupa akan dirinya sendiri. Dia selalu memberi perhatian dan bimbingan kepada orang disekelilingnya, namun dia lupa tanggungjawab terhadap dirinya sendiri yang perlu ditingkatkan dari segenap segi. Di sini akan berlau sesuatu yang amat merugikannya. Jiwanya akan menjadi keras, lembap dan akhirnya akan menyeleweng sedikit demi sedikit.
Nafsu memang sentiasa mengarahkan diri kepada keburukan. Jika tidak dikekang dengan lingkaran takwa dan agama nescaya diri akan tertewas dengannya.

Firman Allah s.w.t. :

“Adapun yang takut makam Tuhannya, mencegah diri dari menurut hawa nafsu. Maka syurgalah tempatnya kembali.”                                                                                 (Surah Al-Nazi’at : ayat 40-41)

Sabda Rasulullah s.a.w. :

“Musuh dirimu yang paling besar ialah nafsumu sendiri yang berada dicelah lambungmu.”                                                                                                                                                                                (Al-hadith)

                Satu perkara yang perlu diingat oleh para da’i, bahawa sebagai seorang da’i tugas asasinya ialah memastikan dirinya menang dalam pertarungan ini (melawan nafsu). Dia harus berbuat baik terhadap dirinya sendiri. Jika tidak apalah ertinya orang lain menang tetapi dia sendiri kalah melutut di hadapan nafsunya.

                Orang yang untung di hri kiamat kelak adalah orang yang memenangkan dirinya (melawan nafsu), walaupun dia kehilangan dunia dan sanjungan oang ramai. Manakala orang yang benar-benar rugi adalah orang yang mensia-siakan dirinya dan dikalahkan oleh nafsunya walaupun dia memperolehi dunia dan sanjungan orang ramai.

Allah s.w.t berfirman :

“Adakah kamu menyuruh orang lain melakukan kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri. Padahal kamu membaca Al-Kitab. Apakah kamu tidak berakal?”                                              (Al-Baqarah : 44)

Firman-NYA lagi :

“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu katakan apa yang kamu tidak lakukan? Amat besar kemurkaan Allah, kamu katakan apa yang tidak kamu lakukan.”                     (As-Saff : 2-3)

                Da’i dituntut supaya memperhitung kesalahan dirinya terlebih dahulu sebelum memperhitungkan kesalahan orang lain. Didik diri sendiri terlebih dahulu sebelum mendidik orang lain. Berbuat ihsan terhadap diri sendiri dahulu sebelum berbuat ihsan kepada orang lain.

Pesan Saidina Ali Bin Abi Talib Karramallhuwajhah :

“Sesiapa yang menjadi pemimpin kepada orang lain, maka hendaklah dia mulakan dengan mengajar dirinya sendiri sebelum mengajar orang lain. Didikannya terhadap orang lain biarlah dengan tingkah lakunya sebelum dengan tutur kata. Orang yang mengajar dan mendidik diri sendiri lebih berhak dimuliakan daripada orang yang mengajar dan mengasuh orang lain.”

Rasulullah s.a.w. pernah menceritakan nasib orang yang mengatakan apa yang tidak mereka kotakan, yang menyuruh orang lain berbuat baik tetapi melupakan diri sendiri, yang menjadikan diri sendiri pembimbing sedangkan diri sendiri tidak terbimbing dan yang menyuruh orang lain beristiqamah sedangkan dirinya sendiri menyeleweng. Sabda Rasulullah s.a.w. :

Pada hari kiamat kelak dicampakkan orang berkenaan ke dalam api neraka lalu terburai perutnya. Dia berputar-putar di dalamnya seperti keldai mengelilingi kincir pengisar gandum. Penduduk neraka berkerumun melihatnya. Mereka berkata: “Si fulan rupanya. Bukankah engkau dahulu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar?” “Benar,” jawabnya. “Tetapi aku menyuruh kepada kebaikan sedangkan aku sendiri tidak melakukannya, aku melarang yang mungkar tetapi aku sendiri melakukannya.”

                Justeru itu, sedarlah wahai sahabat sekalian, tanggungjawab sebagai seorang da’i bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh dibanggakan. Begitu banyak sekali dugaan dan ujian yang harus kita hadapi. Perlu diingat, musuh yang paling utama adalah nafsu kita sendiri. Bagaimana mungkin kita mampu mengalahkan musuh-musuh Islam seandainya diri kita sendiri kalah melutut di hadapan nafsu. Bagaimana ALLAH ingin memberi kita kemenangan sekiranya kita sendiri melakukan perkara yang dilarang-Nya.. Usah hairan dan pelik mengapa hingga kini Islam masih belum mencapai kemenangan sekiranya ramai dalam kalangan penggerak Islam sendiri yamg melakukan dosa-dosa besar. Na’uzubillahi minzaalik.


Sama-sama kita renungkan dan muhasabah diri. Peringatan juga buat diri aku sendiri.

Pesta Ponggal : Jangan Kita Keliru

Tidak lama lagi kembali satu lagi perayaan yang dirayakan oleh masyarakat Hindu di Malaysia iaitu Pesta Ponggal. Perkataan 'ponggal' adalah bermaksud 'masa menuai' dan ia menandakan masa untuk mereka menuai hasil tanaman mereka di masa lalu. 

Di pagi hari pada pesta Ponggal biasanya kaum wanita akan mengemas rumah dan menghiasi rumah dengan 'kolams'. Kolams ialah hiasan lantai yang diperbuat dari beras yang diwarnakan. Biasanya kolams ini dibuat di depan pintu rumah, sebagai tanda selamat dan rahmat supaya isi rumah mendapat kesejahteraan. Kemahiran membuat kolams ini biasanya diwarisi turun temurun. Walaupun nampak susah, tetapi masyarakat Hindu boleh membuat kolams yang unik, cantik dan menarik. Kebanyakannya bermotifkan tumbuhan. Beras yang diguna membuat kolams ini juga boleh dimasak untuk dijadikan juadah kepada tetamu. Beras manis ini dimasak dengan kunyit dan halia dan dimakan dengan dhal dan susu. Tidak ketinggalan juga minyak sapi dan badam. Selain dari dijadikan hidangan tetamu, beras ini juga diletak di kuil untuk dipersembahkan kepada dewa. Oleh kerana beras ini manis, biasanya kolams yang dibuat akan habis dimakan oleh serangga. Bagi masyarakat Hindu, ini adalah kebajikan yang mereka buat untuk haiwan. Selain juadah yang disebutkan, terdapat juga makanan tradisi yang lain seperti 'vadaas' , 'payasam' dan keledek untuk dijamu semasa Ponggal.

Perayaan ini biasanya disambut selama empat hari.  

Pada hari pertama, ia dikenali sebagai hari 'Bhogi' iaitu hari untuk menyembah dewa hujan. Pada hari ini penganut Hindu akan mengamalkan mandi minyak bijan, sebagai permohonan untuk kehidupan baru yang lebih baik. Hari kedua semasa Ponggal ialah hari 'Surya'. Ia adalah khas untuk dewa matahari. upacara yang dilakukan pada hari ini ialah memasak beras bersama susu lembu, untuk dipersembahkan kepada dewa matahari. Pada hari ketiga adalah hari yang dikhaskan untuk haiwan lembu. Ia dipanggil hari 'Mattu'. Masyarakat Hindu percaya bahawa lembu ialah binatang suci yang banyak berjasa kepada manusia. Hari terakhir Ponggal pula adalah hari di mana kawan-kawan yang berjauhan datang untuk melawat. Ia membawa muhibbah dan persaudaraan kepada mereka yang lama terpisah. Perayaan Ponggal ini bolehlah dianggap hari masyarakat Hindu mengukuhkan ikatan sesama mereka. (sumber dipetik dari laman web kementerian penerangan Malaysia).

Beberapa tahun kebelakangan ini terdapat kecenderungan media massa dan gedung-gedung perniagaan mempromosikan konsep perkongsian perayaan apabila dua perayaan ini disambut pada tarikh yang hamper sama. Ekoran itu lahirlah istilah “Kongsi Raya” dan sebagainya kononnya menggambarkan keharmonian dan perpaduan masyrakat Malaysia. Situasi ini menimbulkan persoalan genting keharusan orang islam menyambut perayaan orang bukan Islam atau menggabungkan perayaan orang Islam dengan perayaan agama lain. 

Dalam hal ini, masyarakat Islam perlu sedar di mana keperluan dan kehendak kita yang sebenar dalam situasi masyarakat pelbagai kaum dan agama seperti di Malaysia pada hari ini.

Oleh itu eloklah kita merujuk beberapa dalil yang berkaitan:  

Firman Allah Taala yang bermaksud:

Dan mereka (yang diredhai Allah Taala itu ialah orang-orang) yang tidak memberikan persaksian palsu dan apabila mereka bertembung dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang sia-sia maka mereka melaluinya dengan cara menjaga kehormatan dirinya. 
                                                                                                                      (Surah al-Furqan: ayat 72).  

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: 

(Setelah Rasulullah S.A.W. melihat kaum Ansar menyambut dua hari perayaan yang mereka warisi dari zaman Jahiliyah). Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik dari dua hari (yang kamu sambut) itu iaitu Hari Raya Korban dan Hari Raya Fitrah. (Riwayat Abu Daud dan an-Nasai).

Sabda Rasulullah S.A.W. mafhumnya:

Barangsiapa di kalangan kaum muslimin yang menyerupai atau meniru perbuatan-perbuatan orang kafir maka dia adalah dikalangan mereka (orang-orang kafir). 
                                           (Riwayat Abu Daud, al-Baihaqi, Ibnu Majah, Ahmad dan ad-Daruquthni).  

Berkata Saidina Umar R.A. yang bermaksud:

Janganlah kamu mempelajari mentera-mentera orang asing dan janganlah kamu bersama-sama orang musyrikin dalam gereja-gereja/tempat-tempat ibadat mereka pada hari raya mereka kerana sesungguhnya kemurkaan (Allah Taala) akan turun menimpa ke atas mereka.                                    (Riwayat al-Baihaqi).

Dari dalil-dalil yang dibawakan di atas dapatlah disimpulkan di sini bahawa tidak harus bagi seseorang muslim menghadiri atau merayakan/menyambut perayaan kaum bukan Islam (seperti Pesta Ponggal dan lain-lain lagi). Dan inilah pendapat kebanyakkan ulama. Malah Syeikh Abu Hafs al-Musti (dari mazhab Hanafi) dalam kitab Subulus Salam amat keras dalam hal ini sehingga ia berkata: Sesiapa memberi hadiah kepada seorang kafir sekalipun dengan sebiji telur sebagai membesarkan hari mereka maka sesungguhnya ia kufur dengan Allah.

Saya melihat sambutan perayaan agama kaum bukan Islam seperti ini sedikit sebanyak boleh memesongkan akidah umat Islam yang meraikannya tanpa kita sedari. Kita semacam meredhai dan memberi izin terhadap perbuatan-perbuatan mereka yang menyalahi syariat Islam dengan kehadiran kita. Pun begitu Islam tidak melarang kaum-kaum bukan Islam merayakan hari keagamaan mereka sesama mereka. Namun, Islam tidak sesekali menganjurkan umatnya membenci penganut agama lain. Islam mahukan keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat serta dakwah berjalan dengan baik. 

Terdapat beberapa syarat bagi memenuhi perayaan bukan Islam : 

1) Lokasi di mana ia diadakan : jika jemputan tersebut di gereja atau kuil, jemputan ini tidak wajar diterima kerana ia satu simbolik kepada perayaan keagamaan dan seolah-olah orang Islam redha dengan agama tersebut. Walaubagaimanapun dari satu sudut yang lain di mana ia dibuat di rumah bukan Islam atau dewan, maka ia tidak lagi melambangkan perayaan agama semata-mata, tetapi telah bercampur dengan program sosial dan masyarakat. maka ketika ini tidak salah untuk Muslim menghadiri jemputan rumah terbuka sempena perayaan agama dengan niat menghubungkan tali persahabatan, kejiranan dan sebagainya.

2) Bukan bertujuan mengagungkan/ membesarkan agama lain : membesarkan agama lain merupakan satu kesalahan besar dalam Islam. Ulama mazhab Hanafi menyebutkan bahawa sesiapa yang menghadiahkan kepada bukan Islam pada hari perayaan mereka sebiji buah tembikai dengan tujuan untuk membesarkan perayaan tersebut, maka ia telah kufur. (Al-Ahkam ahli zimmah, juzuk 2, hal. 158).

Justeru itu dapatlah disimpulkan di sini bahawa Islam tidak pernah menghalang umatnya menjalinkan hubungan baik dengan penganut agama lain tetapi hendaklah berlandaskan hukum yang telah ditetapkan syariat Islam. Jangan kita membatasi hukum Islam semata-mata mahu berdakwah dengan golongan bukan Islam. Dakwah itu banyak caranya. Rasullulah s.a.w. telah menunjukkan contoh yang terbaik kepada kita bagaimana baginda mampu menyatukan semua bangsa di bawah satu tampuk kepimpinan Islam. ISLAM ITU INDAH. (^_^) Wallahua’alam

Jadilah pemuda ANSORULLAH..



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Alhamdulillah dipanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Rabbul 'Alamin kerana masih diberi kesempatan untuk menulis setelah sekian lama ber'tawaquf' dr bidang penulisan dakwah ini. Mohon maaf kepada semua rakan2 dan terima kasih kerana masih memberi sokongan dan semangat untuk aku terus menulis dalam menyebarkan Islam yang sempurna ini walaupun sekadar satu ayat.

InsyaAllah kali ini aku ingin berkongsi sedikit kupasan mengenai satu ayat di dalam al-Quran iaitu ayat ke-14 di dalam Surah As-Shaff. Firman Allah ta'ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُونوا أَنصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللَّهِ فَآَمَنَت طَّائِفَةٌ مِّن بَنِي إِسْرَائِيلَ وَكَفَرَت طَّائِفَةٌ فَأَيَّدْنَا الَّذِينَ آَمَنُوا عَلَى عَدُوِّهِمْ فَأَصْبَحُوا ظَاهِرِينَ

Maksudnya : Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana 'Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut- pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong- penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: "Kamilah penolong-penolong agama Allah", lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang. (As-Shaff : 14)

Pemuda adalah sayap penting dalam perjuangan Islam, justeru itu pemuda jualah yang digantung harapkan oleh nabi s.a.w. untuk mendokong cita-cita perjuangan baginda s.a.w. Sabda nabi s.a.w :

حالفني الشباب و خالفني الشيوخ

Maksudnya : yang mendokong perjuanganku adalah pemuda manakala yang membelakangiku adalah orang-orang tua. (Al-Hadith)

Pemuda Ansorullah adalah pemuda yang sentiasa bersiap siaga (on call) untuk menyahut sebarang seruan tanpa rasa ragu bagi menegakkan syariat Allah s.w.t. di atas muka bumi ini.

Ibarat seorang ahli bomba yang sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan yang berlaku bagi tujuan memadamkan kebakaran dan menyelamat. Tiada istilah rehat, tidur dan bersenang lenang baginya kerana misinya cukup besar iaitu menyelamatkan nyawa dan harta benda.

Begitu juga seorang pemuda Ansorullah, dia perlu bersedia mendepani apa jua cabaran dan rintangan yang melanda biarpun terpaksa mengorbankan segala kepentingan dirinya. Ini kerana misinya jauh lebih besar daripada misi seorang anggota bomba. Ya,, cukup besar....misinya adalah menyelamatkan akidah ummah!!

Prinsip utama pemuda Ansorullah ialah kesediaan yang tidak berbelah bagi untuk turun ke medan perjuangan bagi menunaikan tanggungjawab dan amanah perjuangan dengan semangat yang tinggi.

Namun begitu untuk menjadi seorang pemuda Ansorullah perlu menepati piawaian yang merangkumi semua aspek.

1) Ansorullah dalam aqidah (Aqidah yang sahih)
2) Ansorullah dalam fikrah (Fikrah yang syumul)
3) Ansorullah dalam akhlak (Akhlak yang soleh)
4) Ansorullah dalam aktiviti (Amalan dan gerak kerja yang ikhlas dan benar)

Menjadi pemuda Ansorullah bukanlah bermaksud menjadi pemuda yang kasar dan ganas, bukan pemuda yang ekstrim dan subversif. Sebaliknya pemuda Ansorullah ialah pemuda yang mewarisi segala akhlak baginda Rasulullah s.a.w.

Melahirkan pemuda Ansorullah juga bukan bermaksud menukar minat pemuda motor kepada pemuda nasyid, bukan juga bermaksud menukar pemuda futsal kepada pemuda tilawah al-Quran dan pemuda IT kepada pemuda ceramah.

Sebaliknya pemuda Ansorullah bermaksud pemuda yang dibina aqidahnya agar mereka memiliki aqidah yang sahih, fikrah Islam yang syumul dan akhlak yang soleh. Maksudnya kualiti pemuda yang ingin dilahirkan adalah mengikut acuan perjuangan Islam.

Pemuda boleh bermain motor tetapi jadilah pemandu yang yang sahih aqidahnya, syumul fikrahnya dan soleh akhlaknya.

Pemuda boleh bermain futsal tetapi jadilah pemain futsal yang sahih aqidahnya, syumul fikrahnya dan soleh akhlaknya.

Pemuda boleh berkecimpung dalam bidan IT tetapi jadilah ahli IT yang sahih aqidahnya, syumul fikrahnya dan soleh akhlaknya.

Justeru itu, perjuangan untuk menegakkan Islam ini adalah peranan utama pemuda Ansorullah. Perjuangan ini bukan untuk mencari populariti atau membina empayar peribadi sebaliknuya perjuangan ini untuk Islam dan ummah.

Yakinlah Allah sentiasa membantu dan melindungi golongan-golongan yang ikhlas berjuang di jalan NYA. Wallahua'allam


Firman Allah :

وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ

Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (Al-Hajj : 40)

~~ Jadilah pemuda yang PROAKTIF & PROGRESIF ~~