Sukarnya Istiqamah...


Alhamdulillah, sekali lagi aku diberi peluang untuk kembali menulis buat sekian lamanya. Entah kenapa hari ini hati kecilku tergerak untuk kembali menulis. Allah, bukan mudah untuk istiqamah dengan perkara kebaikan. Membuat suatu kebaikan memang mudah. Mencetus suatu idea yang baik memang senang. Tetapi dari aspek pengamalan, rupanya tidak seindah bahasa.

Banyak amalan yang baik terhenti di tengah jalan, dan banyak idea yang hebat tidak sampai ke mana, lantaran gagalnya manusia mengaplikasikan nilai Istiqamah dalam diri mereka.
Begitu juga dalam penulisan.

Semua ini berkait rapat dengan sejarah bermulanya sesuatu usaha, tentang niat terutamanya. Ada orang memulakan suatu usaha yang baik, contohnya menulis, tetapi didasarkan kepada niat yang salah. Bukan sedikit orang yang menulis kerana gilakan nama, habuan dan nilaian di mata dunia.
Niat ini akhirnya membawa kepada terkuburnya usaha tersebut di tengah jalan. Samada niatnya demi habuan duniawi telah tercapai, atau berakhir lantaran usahanya selama ini tidak membuahkan hasil yang diharapkan. Sedangkan di luar sana, berapa ramai insan yang mendambakan agar usaha murni itu berterusan.

Hikmah daripada sifat Istiqamah itu cukup tinggi. Cuma manusia jarang sekali mampu mencecah kepada peringkat tersebut. Termasuklah aku, yang masih perlu terus melipatgandakan usaha. Aku tidak pandai berkarya. Aku bukan orang sastera, yang pandai menggubah bunga bahasa yang begitu cantik, pemuitis pula. Aku cuma insan biasa yang memegang prinsip menulis untuk berkongsi ilmu dan sesuatu kebaikan. Rasulullah s.a.w. bersabda: " Sampaikanlah daripada aku walau sepotong ayat".


Kesimpulannya, semuanya kembali kepada niat kita. Ikhlaskan hatimu menulis kerana Allah, bukan kerana mengharap habuan dunia dan pujian manusia semata-mata. Jika kita benar-benar ikhlas, insyaAllah istiqamah itu akan hadir dengan sendirinya. Semoga segala hasil karya penulisan kita dinilai di sisi Allah kelak. Wallahu'alam.


Doa Untuk Istiqamah

اللَّهُمَّ ثَبِّتْنِيْ بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآَخِرَةِ
Maksudnya: Wahai Tuhanku, Teguhkan aku dengan perkataan yang teguh di dunia (La ilaha illallah) dan di akhirat (sewaktu disoal dalam kubur).


P/s: Menulis status di facebook tidak sesukar bertarung dengan idea untuk menulis di blog kan.. Semoga kita semua istiqamah. Selamat beramal! =)