Sebesar-besar keaiban...


Bismillahirrahmanirrahim,,,

"Sebesar-besar keaiban (keburukan) adalah engkau mengira keburukan orang lain sedangkan keburukan itu ada dalam dirimu sendiri." -Imam As-Syafie

Ramai dalam kalangan manusia yang tidak memandang dan memerhatikan kekurangan dan keburukan yang ada dalam dirinya, tetapi sibuk menghitung dan mengira keburukan orang lain. Pantang sahaja melihat kekurangan dan keaiban orang, terus sahaja diperkatakan dan disebarkan. Terutama sekali dengan adanya kemudahan media baru seperti facebook, twitter dan blog. Amat mudah sekali setiap perkara disebarkan. Hanya menggunakan jari jemari menekan keyboard, beberapa saat sahaja berita itu terus tersebar ke seluruh pengetahuan rakan-rakan kita bahkan ke seluruh dunia! Bayangkan betapa banyak saham yang akan kita peroleh di akhirat kelak.

Hakikatnya, keburukan dan kekurangan di dalam dirinya sendiri tidak disedari ataupun sengaja buat-buat tak nampak. Sebaliknya apabila dia berjaya melakukan sesuatu kejayaan dan kebaikan, sehingga ke langit bumi kebaikan itu dilaung-laungkan.

Saidina Ali r.a. berkata, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda :

“Sebesar-besar keburukan apabila engkau melihat keburukan dan kekurangan yang ada pada diri orang lain sedangkan keburukan dan kekurangan yang engkau cemuh dan cela itu ada dalam dirimu sendiri.”

Hadis di atas bukan bermaksud, apabila kita mendapati kekurangan dalam diri orang lain, kita juga menyamakan diri kita dengan diri orang yang mempunyai kekurangan itu. Maksud hadis di atas adalah cukup bagi kita tidak menceritakan keburukan orang lain kepada khalayak ramai dan cuba memperbaiki diri sendiri apabila keburukan itu ada dalam diri kita.

Apa pula tindakan kita sekiranya mendengar atau mengetahui tentang keburukan seseorang daripada orang lain? Adakah kita hanya mendengar dan mendiamkan diri? Atau turut sama mengumpat?

Islam mewajibkan sesiapa yang mendengar apa-apa perkataan yang berdosa supaya menyelar orang yang melakukannya. Islam mewajibkan seorang Muslim mempertahankan nama baik saudaranya. Islam mengajar supaya orang-orang yang menghakis maruah dan nama baik orang lain diberi pengajaran yang sesuai dengan syrak dan akhlak Islam. Sabda Rasulullah s.a.w :

“Barangsiapa yang mempertahankan maruah saudaranya ketika saudaranya itu tidak ada, maka wajiblah ALLAH melepaskannya dari seksa api neraka.”                                                          (Riwayat Ahmad)

Sabda Rasulullah s.a.w :


“Barangsiapa yang mendengar saudaranya diumpat namun dia tidak membelanya padahal dia mampu, maka dia turut sama menanggung dosa umpatan itu di dunia dan di akhirat.” (Hadith Asfahani)

Orang-orang yang suka mengintai-ngintai aib orang lain dan merosakkan nama baiknya, mereka hendaklah merasa takut akan kemurkaan ALLAH s.w.t serta seksaanNYA. Rasulullah s.a.w. menjelaskan:

“Wahai orang-orang yang beriman dengan lisan, akan tetapi imannya belum meresap ke dalam hatinya, janganlah kalian menyakiti orang lain. Jangan mengintai-ngintai aurat (keaiban), sesungguhnya barangsiapa yang cacat celanya diintai oleh ALLAH, nescaya ALLAH akan bukakan pekungnya walaupun dalam kenderaannya sendiri.” (Riwayat Abu Daud)

Sekiranya keburukan yang ada dalam diri orang lain itu tidak menyenangkan kita, maka begitulah sebaliknya, keburukan yang ada dalam diri kita juga pasti tidak disenangi dan disukai oleh orang lain. Oleh itu, dalam usaha kita memperbaiki kekurangan orang lain, perbaikilah diri kita dahulu sebaik yang mungkin. Wallahua’lam..

Renung-renungkan dan selamat beramal! (^_^)