PUASA : TARBIYYAH BUAT PARA DA'I


Bismillah walhamdulillah,

Masih diberi taufik dan inayah dari ALLAH s.w.t  untuk aku menulis lagi. Menjelang Ramadhan Al-Mubarak tidak lama lagi, aku ingin mengambil kesempatan dan peluang untuk berkongsi serba sedikit  tentang salah satu anjuran Rasulullah buat bekalan para da’i bagi menghadapi cabaran dan ranjau yang penuh berduri dalam kehidupan ini.

Sabda baginda kepada Abi Zar Radiyallahu ‘anhu:

“Sekiranya engkau akan mengembara, adakah engkau akan membuat persiapan?” jawab Abu Zar: “Ya!” Sabda baginda: “Bagaimana pula dengan pengembaraan menuju hari kiamat? Mahukah engkau mendengar sekiranya aku memberitahu mu tentang bekalan yang berguna untuk menghadapi hari tersebut?” Jawab Abu Zar: “Bahkan aku mahu wahai Rasulullah, demi ayah dan ibuku.” Mendengar jawapan Abu Zar itu, baginda pun bersabda:

# Berpuasalah di hari yang panas terik demi menghadapi hari kebangkitan

# Sembahyanglah dua rakaat di malam gelap gelita demi menghadapi kesunyian dan kegelapan kubur

# Tunaikan haji demi menghadapi cabaran-cabaran besar yang mendatang

#  Hulurkan sedekah untuk orang miskin

# Sentiasa ungkapkan kalimah yang benar

# Diam dan hindarkan diri dari bertutur kata-kata yang tercela dan buruk.

Inilah beberapa saranan dari Rasulullah s.a.w bagi mereka yang merentasi perjalanan mencari keredhaan ALLAH dalam kalangan orang yang beriman dan para da’i. Anjuran ini menggesa kita supaya melatih dan membiasakan diri dengan kehidupan yang sulit dan payah. Mengasuh diri dengan menahan nafsu daripada sentiasa menikmati apa yang diingini dan disukai.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Biasakan diri dengan kesusahan kerana nikmat kesenangan hidup tidak kekal selama-lamanya.
Saranan Rasulullah s.a.w. ini adalah salah satu cara yang praktikal dalam tarbiyyah. Cara tersebut merupakan suatu pendekatan yang mempunyai kesan yang mendalam dalam pembentukan dan pemurnian diri manusia. Latihan seperti ini mampu menjadikan da’i seorang hamba ALLAH yang benar-benar patuh dan tunduk kepada Rabbul ‘Alamin

Sebagai contoh ialah ibadah puasa. Puasa adalah salah satu latihan kerohanian yang amat berkesan. Puasa dapat menghaluskan perasaan, membersihkan fikiran, memurnikan hati dan menjernihkan jiwa.

Oleh kerana itu, orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan penyerahan diri kepada ALLAH pada hari dan saat yang panas terik akan mendapat ganjaran iaitu dibebaskan daripada kepanasan hari kiamat yang tiada tolak bandingnya.

Rasulullah s.a.w. pernah berpesan kepada Sayyidatina Aisyah r.a dengan sabdanya:

“Wahai Aisyah, hendaklah engkau sentiasa mengetuk pintu syurga dengan lapar.”

Tersebut di dalam hadith Qudsi:

“Setiap amalan anak Adam diberikan ganjaran sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda kecuali puasa. Sesungguhnya ia (puasa) adalah untuk-Ku, Akulah yang akan memberikan ganjaran. Dia meninggalkan syahwat dan makan semata-mata kerana-Ku.

Rasulullah s.a.w juga telah mengisyaratkan darjat untuk mereka yang berpuasa dan berjaya mengawal hawa nafsu mereka. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah pintu bernama Al-Rayyan, di mana orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu pada hari kiamat. Tiada seorang pun yang dapat melalui pintu itu. Apabila mereka semua masuk, pintu itu akan ditutup kembali dan tidak aka nada lagi orang yang akan masuk melaluinya.”

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:

“Tiada seorang pun hamba yang berpuasa satu hari pada jalan ALLAH kecuali ALLAH akan menjauhkan wajahnya daripada api neraka selama tujuh puluh musim.”

Rasulullah juga menjelaskan bahawa puasa dapat memberi syafa’at kepada tuannya pada hari akhirat kelak. 

Sabda baginda s.a.w. :

“Puasa dan Al-Quran memberi syafa’at kepada seseorang hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: “Wahai Tuhan, aku telah menghalangnya daripada makan dan nafsu syhawat, maka berikan syafa’at kepadanya disebabkan oleh aku.” Dan berkata pula Al-Quran: “Aku telah menghalangnya daripada tidur pada waktu malam, maka berilah syafa’at kepadanya disebabkan oleh aku.” 

Begitulah beberapa gambaran tentang hikmah dan kelebihan bagi seseorang yang benar-benar ikhlas mengerjakan ibadah puasa. Maka setiap da’i hendaklah bermujahadah terhadap dirinya dan melatih jasad dan nafsunya dengan berpuasa. Sesungguhnya ia merupakan satu amalan yang kuat dan penting untuk pembersihan jiwa (tazkiyatun nafs) agar dia mampu untuk merentasi hari kiamat dengan penuh aman kelak seperti mendapat pemeliharaan ALLAH yang berterusan. Wallahua’lam.

Moga ibadah puasa kalian diterima ALLAH s.w.t sebagai amal ibadah yang mampu menjadi benteng dan menghindarkan diri kalian daripada bahang kepanasan api neraka kelak. 


~SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK~