Pendakwah bukan penghukum..



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Sememangnya antara perkara yang paling payah dan susah bagi seorang pendakwah ialah mendahulukan bersangka baik. Sebelum kita mengajak orang lain bersangka baik, perlu bermula dengan diri sendiri sebagai qudwah. untuk menajak seseorang mengasihi Allah s.w.t dan mencintai Islam, pendakwah terlebih dahulu perlu mengasihi Allah dan Islam. Sebelum kita mengajak orang lain untuk menerima Islam sepenuhnya, pendakwah sendiri perlu memujuk diri dan menerima Islam sepenuhnya.

Sebagai orang yang membawa Islam, kita perlulah memastikan orang di sekeliling kita merasa selelsa dengan Islam yang dibawa. Suasana yang mesra dan mudah wajib diwujudkan. Bukan kita menyusah dan memnyukarkan proses komunikasi dengan membawa sentimen, prejudis dan sebagainya. Sebagai pendakwah, kita perlu berfikiran terbuka, positif dan santai, insyaAllah ia akan menghantar satu imej di minda masyarakat bahawa akhlak Muslim itu cantik dan mesra.

Apabila kita ingin mendekati seseorang (mad'u), kita akan ada first impression semasa melihat perwatakannya. Nampak free hair, kita terus labelkan mereka 'teruk' atau 'jahil'. Nampak sahaja pasangan berkepit lelaki perempuan, kita terus labelkan 'tidak senonoh, buat malu kaum jer'. Apabila nampak saja situasi sebegitu, pelbagai pemikiran negatif terlintas di fikiran kita.


Sebagai pendakwah, sepatutnya yang menerpa fikiran tatkala melihat mad'u kita atau berhadapan dengan situasi seperti di atas bukanlah sesuatu yang negatif. Tetapi seharusnya timbul perasaan simpati dan belas kasihan kepada mereka. Simpati kerana mereka belum menerima hidayah Allah s.w.t. lalu terus mendoakan mereka. Simpati kerana kefahaman belum dimiliki mereka sehingga mendorong mereka melakukan sesuatu yang tidak seiring dengan kehendak Islam.

Pendakwah tugasnya bukan menghukum itu dan ini, bukan melatah dan mencaci orang dengan kata-kata, tetapi tugas sebenar kita adalah emeberi kefahaman tantang perihal Islam yang sebenar kepada mad'u. Pendakwah perlu beruasaha mendekati mad'u dan menegurnya dengan cara yang baik. Namun hakikatnya hukuman itulah yang selalu dijaja sana sini.



Pernahkah kita terfikir apakah bezanya kita dengan mereka yang kurang kefahaman ini? Kita mungkin terpilih untuk menerima hidayahNya terlebih awal dari mereka, tetapi janganlah pula kita mudah mencaci dan menghina. Hidayah Allah itu milik semua dan hanya kuasaNyalah yang menentukan bila dan selama mana ia akan berada dalam diri seseorang.Mungkin hari ini kita boleh berbangga mendabik dada dengan pelabagai 'fatwa' pelbagai gaya, tetapi esok lusa kita belum tahu siapa kita di sisi Allah s.w.t. Na'uzubillah jika hidayahNya ditarik balik dari jiwa kita.

Berikut adalah tips yang disarankan oleh Syeikh Abdul Kadir Al-Jailani untuk sentiasa bersangka baik sesama makhluk:

1) Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu: "Mungkin kedudukannya di sisi Allah s.w.t. jauh lebih baik dan lebih mulia".

2)Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah: "Anak ini belum bermaksiat kepada Allah s.w.t. sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tantu anak ini jauh lebih baik daripadaku".

3)Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah: "Dia telah beribadah kepada Allah s.w.t. jauh lebih lama daripadaku, tentu dia lebih baik daripadaku".

4) Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah: "Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan ku peroleh, mencapai kedudukan yang tidak akan ku capai, mengetahui apa yang tidak ku ketahui dan dia mengamalakan ilmunya. Tentu dia lebih baik daripadaku".

5) Jika bertemu dengan seorang yang jahil, maka katakanlah: "orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia jahil (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik daripadaku".

6) Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah: "Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin pada akhir usia dia memeluk Islam dan beramal soleh, dan mungkin boleh jadi pada akhir usiaku kufur dan berbuat kejahatan. Na'uzubillah. Tentu dia lebih baik daripadaku"

Demikian anatar ajaran-ajaran yang dititipkan oleh seorang ulama yang masyhur. Beliau mengajar diri kita agar cuba memujuk diri sendiri dengn sangkaan yang baik.
Golongan yang kurang faham ini (mad'u) perlu didekati untuk difahami. Mereka dambakan sinar hidayah. Walaubagaimanapun mereka, fitrah insani tetap mahukan diri melakukan kebaikan, pasti ada walau sekecil zarah, keinginan untuk berbakti. Oleh yang demikian, janganlah disebabkan kita menjadi punca terhentinya keinginan mereka ini. Potensi yang ada dalam diri setiap mad'u mungkin menjadikan mereka jauh lebih baik dari kita suatu hari nanti.

Oleh yang demikian, seorang pendakwah wajib memiliki sikap bersangka baik, yang juga termasuk antara akhlak Rasulullah s.a.w. yang utama. ia perlu disemai, dilatih dan dibudayakan semaksima mungkin bagi memberi kesan yang besar dalam penyebaran agama Islam. Sama-sama kita bangkit dalam menegakkan syiar Islam di muka bumi Allah ini insyaAllah..

Segala apa yang baik itu datang daripada Allah Yang Maha Bijaksana dan yang kurang itu daripada kelemahana diri kita sendiri. Wallahua'lam.